Khamis, 2 March 2017 | 12:06pm

Aladdin Group kerjasama dengan Manchester United

- Foto www.manutd.com
- Foto www.manutd.com

KUALA LUMPUR: Pengendali platform e-dagang dari Malaysia, Aladdin Group mengesahkan sudah menandatangani perjanjian perkongsian global bersama gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, semalam.

Pengendali platform e-dagang halal premium eksklusif pertama di dunia itu akan menggunakan kelab berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memasarkan jenamanya aladdinstreet.com di pasaran global.

Selain meningkatkan kesedaran terhadap jenama itu, perkongsian itu turut menyaksikan Aladdin Group akan dapat berinteraksi dengan 659 juta pengikut global United, menerusi platform digital kelab itu termasuk acara bersama penyokong dan kempennya di seluruh dunia.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak enggan mendedahkan berapa nilai perjanjian terbabit.

Sebaliknya, Pengarah Urusan Kumpulan United, Richard Arnold lebih berminat bercakap mengenai perubahan yang dibawa menerusi platform e-dagang itu pada masa kini dan capaian global United.

"Cara orang ramai membeli-belah berubah secara dramatik sejak sedekad lalu dan platform e-dagang kini lebih menjadi pilihan pengguna dengan memberi akses kepada pelbagai produk seluruh dunia di hujung jari anda.

"Sebagai syarikat baharu dan bertenaga, Aladdin Street berada di barisan hadapan dalam industri dan perkongsian dengan United membuktikan syarikat ini mahu mengembangkan perniagaannya ke peringkat global."

Sementara itu, pengasas bersama Aladdin Group, Datuk Seri Desmond To, berkata: "AladdinStreet.com akan menawarkan perkhidmatan ke seluruh dunia pada suku pertama 2017 dengan menampilkan produk dan perkhidmatan dari Malaysia dan Singapura.

"Rangkaian syarikat kami terdapat di kira-kira 30 negara, sekali gus meliputi empat bilion penggunanya. Penyokong Manchester United di seluruh dunia tidak lama lagi akan dapat menikmati peluang unik apabila berkunjung atau membeli belah di atas talian AladdinStreet."

Aladdin Group ditubuhkan hampir dua tahun lalu dan beroperasi sejak 18 bulan lalu, menawarkan platform perniagaan seperti mana dipraktikkan syarikat e-dagang terkemuka dunia, Alibaba Group Holding Ltd, namun pendekatannya berbeza kerana mengetengahkan produk dan perkhidmatan halal dan patuh syariah pertama di dunia.

Berita Harian X