Ahad, 26 Februari 2017 | 10:08am
PEMAIN Monaco, Fabinho. - Foto REUTERS
PEMAIN Monaco, Fabinho. - Foto REUTERS

Gol Glik, Fabinho ceriakan Monaco

PARIS: Pemain tengah, Fabinho menyempurnakan penalti di lewat permainan untuk membantu Monaco mengukuhkan kedudukan di puncak Ligue 1 dengan Guingamp 2-1, awal pagi tadi.

Selepas Kamil Glik menjaringkan gol pembukaan buat Monaco pada minit ke-24, Fabinho meletakkan pelawat selesa mendahului 2-0 ketika permainan berbaki empat minit sebelum Etienne Didot merapatkan jurang buat Guingamp pada minit terakhir permainan.

Ia kemenangan yang dicari-cari Monaco selepas kekalahan 5-3 kepada Manchester City dalam aksi pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara pertengangah minggu lalu.

Skuad bimbingan Leonardo Jardim itu ketika ini memiliki kelebihan tiga mata di puncak Ligue 1 mengatasi Nice di tangga kedua yang bangkit menewaskan Montpellier 2-1, Jumaat lalu.

"Penting untuk kami kekal fokus selepas tewas dalam perlawanan Liga Juara-Juara, pemain-pemain melakukan kerja mereka dengan baik dan saya amat gembira dengan mereka," kata Jardim.

Penyandang juara, Paris Saint-Germain (PSG) kekal ketinggalan enam mata di tangga ketiga dan dijadual bertemu musuh tradisi, Marseille awal pagi esok.

Pada aksi di Stade municipal de Roudourou, Monaco tampil tanpa kelibat dua tonggak pertahanan, Benjamin Mendy dan Andrea Raggi yang digantung.

Sebagai rekod, Guingamp hanya menang satu daripada lapan pertembungan dengan Monaco namun kelab itu pernah menewaskan Marseille, PSG dan Lyon di laman sendiri.

Fabinho dalam pada itu boleh diangkat sebagai pakar penalti selepas kesemua 11 penalti yang diperoleh di Ligue 1 berjaya disempurnakan.

Sementara itu, Lille yang baru mendapat pemilik baharu tewas 3-2 ke atas Bordeaux manakala Lorient tumbang 1-0 kepada Rennes dan Bastia terus terjerumus ke kancah penyingkiran apabila dimalukan Angers 3-0. - AFP

Berita Harian X