Isnin, 6 Februari 2017 | 2:12am
PEMAIN Manchester United, Zlatan Ibrahimovic meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Leicester City di Stadium King Power, sebentar tadi. - Foto EPA
PEMAIN Manchester United, Zlatan Ibrahimovic meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Leicester City di Stadium King Power, sebentar tadi. - Foto EPA

Man United tambah derita Leicester

PEMAIN Manchester United, Juan Mata meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Leicester City di Stadium King Power, sebentar tadi. - Foto AFP
PEMAIN Manchester United, Juan Mata meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Leicester City di Stadium King Power, sebentar tadi. - Foto AFP

LONDON: Manchester United melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Leicester City pada pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman penyandang juara itu sekali gus mengekalkan deretan 15 perlawanan tanpa kalah dalam aksi liga, sebentar tadi.

Tiba ke Stadium King Power dengan misi menang selepas seri tanpa jaringan bertemu Hull pada aksi sebelum ini, skuad bimbingan Jose Mourinho begitupun hanya membuka tirai jaringan selepas 42 minit perlawanan berlangsung menerusi Henrikh Mkhitaryan.

Kedudukan itu kemudian digandakan penyerang sensasi, Zlatan Ibrahimovic dua minit kemudian untuk pelawat selesa mendahului 2-0 berakhir babak pertama.

Permainan tampak seimbang pada awal perlawanan dengan kedua-dua pasukan saling membuat percubaan termasuk cubaan Wes Morgan pada minit ke-19 namun tandukannya terkena Paul Pogba.

United berpeluang membuka tirai jaringan pada minit ke-23 namun rembatan penyerang muda, Marcus Rashford di depan gawang tinggi melepasi palang gol yang berpunca daripada hantaran menarik Mkhitaryan.

Mata juga hampir menerima padah atas kekasarannya ke atas Jamie Vardy pada minit ke-28 namun hanya dilayangkan kad kuning.

Ketika permainan sedang rancak, kesilapan yang dilakukan pertahanan Leicester, Robert Huth dimanfaat sepenuhnya Mkhitaryan yang membuat larian solo sebelum melakukan penyudah baik untuk menewaskan Kasper Schmeichel.

Ibrahimovic menjadikan kedudukan 2-0 selepas menyempurnakan dengan baik hantaran Antonio Valencia sebelum Mata menambah gol ketiga pada minit ke-49 yang berpunca daripada gerakan satu dua cantik dengan Mkhitaryan.

Permainan tambah menarik dengan beberapa pertukaran dilakukan kedua-dua pasukan selepas jaringan ketiga itu namun tiada tambahan jaringan berjaya dilakukan.

Kemenangan mengikuti keputusan pada pertemuan pertama liga di Old Trafford, September lalu yang menyaksikan United menang besar 4-1. - AGENSI

Berita Harian X