Ahad, 5 Februari 2017 | 1:53pm

Giliran An kuasai Terbuka Phoenix

AN Byeong-Hun merakam enam birdie untuk mencatat enam di bawah par 65, sekali gus kekal mendahului saingan golf Terbuka Phoenix. - Foto Sky Sports
AN Byeong-Hun merakam enam birdie untuk mencatat enam di bawah par 65, sekali gus kekal mendahului saingan golf Terbuka Phoenix. - Foto Sky Sports

LOS ANGELES: Pemain Korea Selatan, An Byeong-Hun merakam enam birdie untuk mencatat enam di bawah par 65, sekali gus kekal mendahului saingan golf Terbuka Phoenix dengan kelebihan satu pukulan ke atas Martin Laird dari Scotland, sebentar tadi.

An yang juga pendahulu hari kedua sedang memburu gelaran USPGA pertama dalam usahanya menambah koleksi kejuaraan selepas menjulang gelaran - Jelajah Eropah - Kejuaraan PGA BWM 2015.

"Sasaran saya adalah untuk mengelak daripada mencatat bogey," kata An, yang mana jumlah pukulan keseluruhan 16 di bawah par 197 meletakkannya satu pukulan di depan Laird yang turut mencatat 65 pukulan.

Laird bangkit daripada bogey di lubang kedua dengan membenam empat birdie berturut-turut bermula lubang ketiga, dan mencatat tiga pukulan sama pada sembilan lubang terakhir.

Juara bertahan, Hideki Matsuyama kekal mengekori rapat, apabila mengulangi pencapaian sama seperti semalam - tiga di bawah par 68 - untuk keseluruhan 201 pukulan sekali gus berada dalam kelompok ketiga.

Bintang Jepun nombor lima dunia itu mengimbangi catatan tiga bogey dengan enam birdie, termasuk aksi mendebarkan di lubang ke-16 yang mana bola pukulan tee dia berhenti bergolek dua kaki dari lubang. - AFP

Berita Harian X