Ahad, 5 Februari 2017 | 11:33am

Bintang All Blacks positif doping

BINTANG ragbi All Blacks, Patrick Tuipulotu (kanan). - Sumber www.stuff.co.nz
BINTANG ragbi All Blacks, Patrick Tuipulotu (kanan). - Sumber www.stuff.co.nz

WELLINGTON: Bintang ragbi All Blacks, Patrick Tuipulotu didapati positif doping dan masih 'terkejut' dengan keputusan itu, kata Kesatuan Ragbi New Zealand (NZR), sebentar tadi.

Tuipulotu didapati positif mengambil bahan terlarang yang tidak dinyatakan tahun lalu dan dihantar pulang ketika All Blacks menyertai jelajah akhir tahun, dengan alasan 'masalah peribadi' ketika itu.

Media tempatan melaporkan sebentar tadi - Tuipulotu yang beraksi sebagai 'lock', digantung sementara selepas disahkan positif.

Bagaimanapun tiada pengesahan rasmi yang dibuat NZR, Persatuan Pemain Ragbi New Zealand (NZRPA), Badan Bebas Dadah Sukan New Zealand dan Ragbi Dunia.

Namun, NZR dan NZRPA kemudian mengeluarkan kenyataan bersama mengesahkan mereka sudah dimaklumkan mengenai keputusan ujian doping Tuipulotu yang positif akhir tahun lalu.

"NZR dan NZRPA boleh mengesahkan pada November 2016, kami dimaklumkan sampel ujian doping Patrick Tuipulotu dilaporkan mengandungi bahan terlarang yang disenaraikan Agensi Anti Doping Dunia (WADA)," kata kenyataan itu.

"Patrick sendiri terkejut dengan keputusan itu, dan bekerja keras mengenal pasti sumber bahan yang dinyatakan."

Tuipulotu, 24, membuat penampilan sulung bersama All Blacks pada 2014 dan hampir disenaraikan untuk ke Piala Dunia 2015 tetapi terpaksa membatalkan niat itu selepas perlu menjalani pembedahan pinggul. - REUTERS

Berita Harian X