Jumaat, 3 Februari 2017 | 12:16am

Klopp sangkal dakwaan Mourinho

JURGEN Klopp. - Foto AFP
JURGEN Klopp. - Foto AFP

LONDON: Jurgen Klopp mengakui dia bernasib baik apabila tidak dikenakan tindakan selepas menengking pegawai keempat perlawanan, tetapi menolak dakwaan Jose Mourinho yang mengatakan dia mendapat layanan istimewa.

Klopp meminta maaf di atas tindakannya terhadap Neil Swarbrick ketika keputusan seri 1-1 menentang Chelsea Selasa lalu, di mana dia meluahkan kekecewaannya apabila penalti diberikan kepada Diego Costa.

Simon Mignolet menyelamatkan sepakan berkenaan dan Klopp melaungkan: "Tidak ada sesiapa boleh tewaskan kami" kepada pegawai berkenaan, yang membalas dalam bahasa Jerman dengan berkata: "Tidak ada masalah, saya suka keghairahan anda".

Selepas seri tanpa jaringan di laman sendiri menentang Hull semalam, pengendali Manchester United Mourinho berkata yang dia mendapat layanan berbeza berbanding Klopp dan bos Arsenal Arsene Wenger.

"Semalam seorang pegawai keempat perlawanan berkata kepada seorang pengurus: "Saya suka keghairahan anda, jadi buat apa yang anda mahu buat".

"Hari ini saya diberitahu: 'Duduk atau saya hantar anda ke bangku penonton'. Jadi untuk saya semuanya berbeza," kata Mourinho.

Wenger ketika ini digantung empat perlawanan kerana menghina pegawai keempat perlawanan, manakala Mourinho pernah digantung dua kali musim ini dan dilarang masuk ke stadium musim lalu.

"Saya rasa ia bergantung kepada pegawai keempat perlawanan. Kita semua tahu apa yang kita boleh lakukan," kata Klopp. "Mungkin saya bernasib baik. Ada bermacam cara untuk menangani situasi sebegini." - AFP

Berita Harian X