Ahad, 29 Januari 2017 | 11:27pm
 ROGER Federer mengalirkan air mata selepas menewaskan Rafael Nadal dalam pertarungan lima set pada final Terbuka Australia. - Foto AFP
ROGER Federer mengalirkan air mata selepas menewaskan Rafael Nadal dalam pertarungan lima set pada final Terbuka Australia. - Foto AFP

Federer menangis tewaskan Nadal di final

MELBOURNE: Roger Federer mengalirkan air mata selepas menewaskan Rafael Nadal dalam pertarungan lima set pada final Terbuka Australia, sebentar tadi, sekali gus merangkul gelaran Grand Slam ke-18.

Federer memenangi pertemuan sengit itu dengan keputusan 6-4, 3-6, 6-1, 3-6, 6-3 dalam tempoh tiga jam 38 minit untuk mengatasi empat gelaran utama berbanding Nadal dan Pete Sampras dalam senarai pemenang sepanjang zaman.

"Tenis adalah sukan yang sukar, tiada keputusan seri. Tapi jika ada (keputusan seri), saya pasti akan lebih gembira untuk menerima keputusan seri malam ini dan berkongsi dengan Rafa," kata Federer.

"Teruskan bermain, Rafa. Sukan tenis memerlukan anda."

Tampil semula selepas enam bulan berehat kerana kecederaan, bintang Switzerland itu menjadi pemain tertua dalam era kejohanan Terbuka yang memenangi kejuaraan utama selepas Ken Rosewall melakukannya pada Terbuka Australia 1972.

Sementara itu, Nadal berkata: "Mengagumkan apabila melihat dia (Federer) bermain selepas sekian lama berehat. Apa yang pasti, dia bekerja keras untuk apa yang berlaku tadi. Saya gembira untuk dia.

"Ini adalah bulan yang baik untuk saya, bulan yang luar biasa bagi saya, saya benar-benar menikmatinya. Saya bekerja keras untuk berada di sini hari ini. Mungkin Roger sedikit lebih baik daripada saya." - AFP

Berita Harian X