Ahad, 29 Januari 2017 | 7:14am

Piala Negara-Negara Afrika: Cameroon singkir Senegal

PEMAIN Cameroon meraikan kemenangan. - Foto AFP
PEMAIN Cameroon meraikan kemenangan. - Foto AFP

FRANCEVILLE, Gabon: Sadio Mane gagal menyudahkan penalti sekali gus membenarkan Cameroon menewaskan Senegal 5-4 menerusi penentuan penalti pada pertembungan suku akhir Piala Negara-Negara Afrika, semalam.

Perlawanan terpaksa diheret ke penentuan penalti selepas 120 minit masa permainan yang berlangsung di bandar selatan Gabon, Franceville di sini berakhir tanpa jaringan.

Kedua-dua pasukan berjaya menyempurnakan keempat-empat penalti awal namun cubaan bintang Liverpool, Mane berjaya dihalang oleh penjaga gol Cameroon, Fabrice Ondoa.

Vincent Aboubakar kemudian berjaya meledakkan gol sekali gus menyaksikan Cameroon melangkah ke peringkat empat terakhir menyingkirkan Senegal - pasukan yang mereka tewaskan pada final edisi 2002 menerusi penalti.

Lawan Cameroon di separuh akhir sama ada DR Congo atau Ghana, Khamis ini.

Menariknya, pengurus Senegal, Aliou Cisse adalah pemain yang melepaskan penalti penting ketika pasukannya tewas kepada Cameroon pada final 2002 yang juga penampilan pertama dan terakhir Senegal di final Piala Negara-Negara Afrika.

Di bawah bimbingannya, Senegal muncul antara pasukan yang diramal mampu menggegar saingan pada tahun ini selepas mudah melepasi peringkat lapan terakhir dan menjuarai Kumpulan B berbaki satu perlawanan.

Bertemu Cameroon, Senegal membuat 10 pertukaran terhadap pasukan yang mencatat keputusan seri 2-2 dengan Algeria pada pertembungan sebelum ini dengan Kara Mbodj satu-satunya pemain yang dikekalkan.

Begitupun, di sebalik penguasaan permainan, tiada jaringan berjaya diledakkan Senegal sebelum kempen berakhir kecewa. - AFP

Berita Harian X