Jumaat, 27 Januari 2017 | 8:17am

Nadal idam final pilihan lawan Federer

RAFAEL Nadal (kanan) akan cuba merealisasikan final impian Terbuka Australia bertemu seteru lamanya, Roger Federer.
RAFAEL Nadal (kanan) akan cuba merealisasikan final impian Terbuka Australia bertemu seteru lamanya, Roger Federer.

MELBOURNE: Rafael Nadal akan cuba merealisasikan final impian Terbuka Australia bertemu seteru lamanya, Roger Federer namun perlu mengetepikan pencabar dari Bulgaria, Grigor Dimitrov terlebih dulu pada aksi separuh akhir, petang ini.

Tidak ramai yang memberikan harapan untuk dua pemain senior itu mara ke final namun bintang Switzerland itu sudah menempah tiket ke pentas akhir dan Nadal kini dilihat tidak sabar untuk membuat perhitungan dengan Federer di pentas akhir.

Kekalahan dua pilihan utama, Andy Murray dan Novak Djokovic memberi peluang kepada pencabar lain namun Federer dan Nadal membuktikan betapa mereka masih mampu untuk terus memberi cabaran.

Nadal yang masih cergas dan agresif berjaya menumbangkan pilihan ketiga, Milos Raonic; Gael Monfils dan Alexander Zverev dalam tiga perlawanan terakhirnya.

"Mereka adalah pemain yang hebat. Kemenangan ini penting kerana ia membuktikan saya masih kompetitif dan beraksi dengan baik. Saya bekerja keras untuk mara ke tahap ini," kata Nadal.

Juara 14 Grand Slam itu yang kini menduduki ranking kesembilan dunia menyasarkan kejuaraan utama pertama dalam tempoh dua tahun setengah selepas kembali daripada dibelenggu kecederaan tahun lalu.

Namun Dimitrov yang pernah digelar 'Baby Fed' kerana persamaannya dengan Federer bakal memberikannya ujian yang sengit kerana pemain Bulgaria itu kini sedang berada dalam prestasi terbaiknya.

"Dia pemain yang memiliki bakat yang menakjubkan dan memulakan musim ini dengan sangat bagus.

"Pasti dia akan memberi perlawanan yang sukar buat saya. Saya perlu memberikan yang terbaik kerana dia beraksi dengan tahap keyakinan yang tinggi, " kata Dimitrov. - AFP

Berita Harian X