Sabtu, 21 Januari 2017 | 10:37am

Zidane tolak kritikan Ronaldo tak bermaya

 Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane. - Foto EPA
Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane. - Foto EPA

MADRID: Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane menolak kritikan terhadap ayam tambatan pasukannya, Cristiano Ronaldo.

Ia berikutan aksi kurang menyerlah Ronaldo dikatakan menjadi punca Real tewas dua perlawanan berturut-turut selepas mencipta rekod Sepanyol dengan 40 perlawanan tanpa kalah.

Ronaldo bergelut untuk mengelak kekalahan 2-1 Real di Celta Vigo pada aksi Piala Raja Sepanyol sebelum kecundang dengan jaringan sama kepada Sevilla, Ahad lalu yang mengurangkan kelebihan mereka di puncak La Liga kepada satu mata.

Penyerang itu baru saja memenangi Anugerah Ballon d'Or 2016 selepas membawa Real menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu dan menjadi kapten Portugal yang mencipta kejayaan di Euro 2016.

"Cristiano sentiasa akan dikritik, apabila dia tidak menjaringkan gol atau apabila dia bermain pada posisi berbeza, tapi dia sudah biasa dengan keadaan itu.

"Dia memberi tumpuan seperti orang lain kepada perlawanan seterusnya," kata bekas pemain tengah Real, Zidane pada sidang akhbar menjelang perlawanan menentang Malaga, malam ini.

"Dia sentiasa akan menjadi pemain yang membuat perbezaan untuk pasukan ini. Kadang-kadang dia mungkin tidak bermain dengan baik, ia juga berlaku kepada saya. Apa yang penting dia terus bekerja keras." - Reuters

Berita Harian X