Khamis, 19 Januari 2017 | 12:26pm

Aubameyang elak Gabon diaibkan Burkina Faso

 PIERRE-EMERICK Aubameyang ketika sedang beraksi. - Foto AP
PIERRE-EMERICK Aubameyang ketika sedang beraksi. - Foto AP

LIBREVILLE: Pierre-Emerick Aubameyang meledak buat kali kedua ketika Gabon terikat 1-1 dengan Burkina Faso dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika di Libreville, awal pagi tadi.

Ia adalah keputusan seri 1-1 buat kali kedua yang dicatat tuan rumah, Gabon selepas meraih keputusan sama berdepan Guinea-Bissau pada aksi pertama Kumpulan A, Ahad lalu.

Prejuce Nakoulma menjadikan suasana di Stade de l'Amitie terdiam seketika selepas menjaringkan gol pertama Burkina Faso sebelum Aubameyang menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti apabila dia dijatuhkan.

Gabon memiliki beberapa peluang untuk menang pada penghujung perlawanan, tetapi terpaksa akur dengan satu mata.

Sementara itu, satu lagi perlawanan Kumpulan A menyaksikan Cameroon menewaskan Guinea-Bissau 2-1 yang berlangsung di stadium sama.

Pasukan yang akan mara ke suku akhir kini akan ditentukan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Isnin ini.

"Pasukan Ivory Coast memenangi Piala Negara-Negara Afrika sebelum ini selepas seri dua perlawanan," kata jurulatih Gabon, Jose Antonio Camacho.

"Mungkin ia adalah satu petanda yang baik. Semuanya masih bergantung kepada kami. Jika kami menewaskan Cameroon kami akan layak."

Gabon bagaimanapun berdepan tamparan menjelang perlawanan penting itu selepas kehilangan khidmat pemain tengah Juventus, Mario Lemina yang cedera dan Camacho mengesahkan dia terpaksa diketepikan hingga tamat kejohanan.

Burkina Faso juga kehilangan salah seorang pemain utama mereka, Jonathan Pitroipa pada awal permainan untuk sebelum digantikan Nakoulma yang meledak gol pembukaan pada babak pertama. - AFP

Berita Harian X