Isnin, 16 Januari 2017 | 2:50pm

Mane wira Senegal benam Tunisia

PENYERANG Algeria, Riyad Mahrez (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan, Yacine Brahimi (kanan) dan Islam Slimani sejurus membolosi gawang Zimbabwe pada saingan Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi. - Foto AFP
PENYERANG Algeria, Riyad Mahrez (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan, Yacine Brahimi (kanan) dan Islam Slimani sejurus membolosi gawang Zimbabwe pada saingan Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi. - Foto AFP

LIBREVILLE (GABON): Dua bintang Afrika, Riyad Mahrez dan Sadio Mane, masing-masing menjaringkan gol dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi.

Bagaimanapun hanya Mane meraih kemenangan untuk pasukannya di mana Senegal menewaskan Tunisia.

Mahrez, yang dinobatkan Pemain Terbaik Afrika awal bulan ini, meledak dua kali untuk Algeria tetapi pasukannya sekadar seri 2-2 ketika bertemu Zimbabwe pada perlawanan pembukaan Kumpulan B di Franceville.

Mane yang berada di ranking ketiga terbaik benua itu, menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-10 dalam kemenangan 2-0 Senegal.

"Kami kuat pada babak pertama tetapi memperlahankan rentak selepas rehat," kata pengendali Senegal Aliou Cisse, yang pasukan kendaliannya diletakkan sebagai pilihan kejohanan.

Kara Mbodji menambah jaringan menerusi tandukan pada minit ke-30, sekali gus meletakkan Tunisia sebagai pasukan pertama menanggung kekalahan di kejohanan itu selepas tiga perlawanan lain berakhir dengan keputusan seri.

Zimbabwe hanya dipisahkan lapan minit untuk merakam kemenangan bermakna dalam kepulangan ke kancah pusingan akhir selepas 11 tahun menghilang, sebelum Mahrez menjaringkan gol penyamaan.

Penyerang Leicester City itu turut meledak gol pertama pada minit ke-12, tetapi Zimbabwe menyamakan kedudukan lima minit kemudian menerusi Kudakwashe Mahachi, dan Zimbabwe berada di depan apabila Nyasha Mushekwi menyempurnakan sepakan penalti minit ke-29. - Reuters

Berita Harian X