Khamis, 12 Januari 2017 | 10:21pm

Skuad YAKEB Prihatin lawat bekas pemain ragbi

ZUHAIRI (baju kuning) bersama Skuad Prihatin YAKEB ketika melawat Cheng Mun.- Foto NSTP
ZUHAIRI (baju kuning) bersama Skuad Prihatin YAKEB ketika melawat Cheng Mun.- Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menerusi Skuad Prihatinnya hari ini menyampaikan bantuan bernilai RM12,000 kepada bekas jaguh ragbi negara, Chan Cheng Mun.

Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abd Manaf, berkata sumbangan yang diserahkan dalam bentuk cek itu adalah di bawah Skim Bantuan Khas YAKEB dan diserahkan di kediaman Cheng Mun di Petaling Jaya.

"Dalam lawatan susulan YAKEB hari ini, kami menyerahkan pembiayaan rawatan hospital di bawah Skim Bantuan Khas YAKEB yang bernilai RM12,000. Jumlah itu adalah mengikut kos rawatan dan pembedahan sebenar.

"Skim Bantuan Khas Pembiayaan Hospital ini mempunyai dua jenis iaitu ahli tidak perlu membayar apa-apa dan kita menyerahkan surat jaminan (GL) bagi yang pergi ke hospital panel.

"Bagi yang menggunakan hospital bukan panel, pesakit perlu membayar dulu kemudian kita akan membayar balik kepada mereka mengikut jumlah sebenar dikenakan dengan had maksimum sebanyak RM20,000," kata Zuhairi ketika dihubungi BH Sukan.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata keadaan Cheng Mun sudah beransur pulih serta menunjukkan perkembangan yang positif selain cukup gembira dengan kehadiran Skuad Prihatin YAKEB.

"Dia cukup gembira dengan kehadiran kami malah menganggap bantuan itu sebagai angpau untuk Tahun Baru Cina, selain menyuarakan semangat untuk berkunjung ke pejabat YAKEB selepas ini," katanya yang menyertai Skuad Prihatin YAKEB yang turut disertai jurulatih ragbi kebangsaan, Lee Nyuk Fah dan atlet olahraga Sukan Komanwel 1998, N Shanmuganathan.

Cheng Mun, 73, selamat menjalani pembedahan ekoran kecederaan tulang belakang pada 5 Januari lalu di sebuah hospital swasta.

Untuk rekod, antara pencapaian pernah diraih Cheng Mun adalah meraih pingat perak di Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP), Bangkok 1967, bergelar ketua pasukan kebangsaan pada 1968, juara Piala Malaysia 1974 selain diangkat menerima Anugerah Pemain Rabgi Terbaik pada 1998.

Cheng Mun juga berkhidmat selaku Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1962 hingga 1998 dan pangkat terakhir disandangnya adalah sebagai Penolong Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman.

Berita Harian X