Khamis, 5 Januari 2017 | 7:04am

Mahrez calon popular menangi anugerah Pemain Terbaik Afrika

 RIYAD Mahrez.-Foto Reuters
RIYAD Mahrez.-Foto Reuters

ABUJA: Penyerang Algeria, Riyad Mahrez menjadi pilihan memenangi anugerah Pemain Terbaik Afrika 2016 berikutan sumbangannya ketika membantu Leicester City melakar kejutan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Gelaran utama daripada Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) itu bakal menjadi hatrik buat pemain berusia 25 tahun itu yang sebelum ini turut dinamakan Pemain Terbaik PFA (Inggeris) dan Pemain Terbaik Afrika BBC pada tahun ini.

Anugerah yang dianggap paling berprestij CAF itu yang memasuki edisi ke-25 akan berlangsung di ibu negara Nigeria, Abuja hari ini.

Mahrez menjadi antara tonggak Leicester pada musim lalu yang melakar kejayaan yang dianggap 'dongeng' dan menafikan jangkaan semua orang untuk dinobatkan selaku juara Inggeris.

Dia beraksi dalam kesemua perlawanan skuad diberi jolokan The Foxes itu pada musim lalu dan menjaringkan 17 gol.

Memiliki fizikal yang kecil, penyerang kaki kanan itu memulakan karier bersama kelab di kawasan kelahirannya AAS Sarcelles pada 2004.

Selain Marez, turut bersaing bagi anugerah terbabit ialah penyerang kelab Jerman, Borussia Dortmund Pierre-Emerick Aubameyang dari Gabon serta pemain bintang Liverpool dan Senegal, Sadio Mane.

Seandainya Mahrez menang, dia akan mengakhiri kemarau gelaran selama 19 tahun pemain dari Afrika Utara memenangi gelaran itu sejak kali terakhir pemain Maghribi, Mustapha Hadji memenanginya pada 1998.

Seorang lagi pemain kelahiran Algeria yang pernah menjulang anugerah terbabit ialah Rabah Madjer pada 1987 dan Lakhdar Belloumi pada 1981.

Pemenang pada tahun ini akan dipilih oleh jurulatih-jurulatih kebangsaan ahli gabungan CAF, panel wartawan dan penasihat televisyen.

Tahun lalu, Aubameyang mencipta kejutan apabila menggondol anugerah terbabit mengatasi bintang Manchester City dan Ivory Coast, Yaya Toure. - AFP

Berita Harian X