X
Khamis, 29 Disember 2016 | 3:45pm

KFA lanjut kontrak Cheng Hoe setahun lagi

KETUA Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe sah menyambung khidmatnya setahun lagi. - Foto Malai Rosmah Tuah
KETUA Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe sah menyambung khidmatnya setahun lagi. - Foto Malai Rosmah Tuah

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe sah menyambung khidmatnya setahun lagi bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk musim Liga Malaysia 2017.

Musim depan adalah tahun keempat pengendali itu bersama Kedah di mana sepanjang tiga tahun lalu Cheng Hoe berjaya membawa Kedah menduduki tangga ketiga Liga Super dan menjuarai Piala Malaysia 2016.

Cheng Hoe turut dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan baru-baru ini.

"Saya perlu bekerja lebih keras dalam menambah kejayaan untuk Kedah pada musim hadapan apatah lagi kita berdepan dengan pasukan pasukan yang menyediakan bajet lebih besar daripada kita untuk mencari pemain yang hebat," kata Cheng Hoe.

"Kita perlu realistik jika mahukan semua piala namun dengan perkembangan semasa, saya tetap yakin kita dapat meningkatkan lagi keupayaan dalam memberi saingan lebih hebat pada musim 2017 nanti apabila kita juga mensasarkan kejuaraan Piala FA untuk musim hadapan sebagai syarat untuk ke Piala AFC.

"Segala usaha yang saya mulakan sejak menyertai Kedah pada 2014 lalu akan diteruskan dan kejayaan yang dikecapi sehingga kini juga adalah hasil dari sokongan pemain, KFA, kumpulan kejurulatihan saya dan penyokong.

"Saya berharap pemain tidak leka dengan kejayaan memenangi Piala Malaysia tahun ini dan sikap berpuas hati serta terlalu yakin perlu dibuang jika mahu terus memburu kejayaan."

Berita Harian X