Khamis, 15 Disember 2016 | 8:00am

Lallana bantu Liverpool benam Middlesbrough

PEMAIN tengah Liverpool, Adam Lallana (dua dari kanan) menanduk masuk gol pertama pasukannya pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Middlesbrough di Stadium Riverside, Middlesbrough, awal pagi tadi. Lallana jaring dua gol bantu Liverpool menang 3-0.- Foto AFP
PEMAIN tengah Liverpool, Adam Lallana (dua dari kanan) menanduk masuk gol pertama pasukannya pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Middlesbrough di Stadium Riverside, Middlesbrough, awal pagi tadi. Lallana jaring dua gol bantu Liverpool menang 3-0.- Foto AFP

LIVERPOOL: Adam Lallana menjaringkan dua gol bagi membantu Liverpool merampas tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil kemenangan 3-0 ke atas Middlesbrough, awal pagi tadi.

Liverpool yang tewas kepada Bournemouth dan seri kepada West Ham United dalam dua perlawanan terakhir mendahului perlawanan apabila sepakan lencong menarik Nathaniel Clyne berjaya menemui Lallana yang menjaringkan gol pertama tuan rumah menerusi tandukan pada minit ke-29.

The Reds kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-69 menerusi Divock Origi yang juga gol kelima berturut-turut dalam semua kejohanan sebelum Lallana melengkapkan jumlah jaringan.

Kemenangan menyaksikan Liverpool merampas kedudukan kedua liga daripada Arsenal selepas mengumpul 34 mata namun ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Chelsea.

Pada perlawanan itu, pengurus Liverpool, Juergen Klopp menggugurkan penjaga gol, Loris Karius selepas pemain kelahiran Jerman itu melakukan kesilapan besar ketika menentang West Ham dan Bournemouth dan menyenaraikan kembali Simon Mignolet.

Mignolet tampil dengan prestasi yang boleh dianggap baik apabila menyelamatkan cubaan Viktor Fischer pada babak pertama dan tampak akan diturunkan ketika pertembungan tetangga dengan Everton, Isnin ini.

"Kehidupan tidak sentiasa baik namun ini adalah pemain-pemain saya dan bagi saya adalah penting untuk menekan dan melindungi mereka dan kadang kala saya perlu melakukan keputusan yang saya tidak gemar," kata Klopp.

"Saya tahu betapa kuatnya Loris, namun dia tidak dapat menunjukkannya pada beberapa perlawanan terakhir. Menghakiminya ketika ini tidak memberi sebarang makna.

"Simon Mignolet berada di bangku simpanan dan kami perlu mempunyai persaingan. Kesemuanya adalah mengenai Liverpool," katanya sambil memuji persembahan yang ditampilkan oleh Lallana. - Reuters

Berita Harian X