Isnin, 12 Disember 2016 | 9:07am

Cavani selamatkan PSG

PEMAIN Paris St Germain, Edinson Cavani (tengah) beraksi ketika menentang OGC Nice, pada Ligue 1, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
PEMAIN Paris St Germain, Edinson Cavani (tengah) beraksi ketika menentang OGC Nice, pada Ligue 1, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

PARIS: Edinson Cavani meledak dua gol pada babak kedua bagi membantu penyandang juara, Paris Saint Germain (PSG) bangkit daripada ketinggalan dan mengikat pendahulu Ligue 1, Nice 2-2 di Parc des Princes, awal pagi tadi.

Pelawat menampilkan prestasi terpuji apabila mendahului 2-0 sebelum rehat babak pertama bermula daripada sepakan percuma Wylan Cyprien pada minit ke-32 sebelum Alassane Plea menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan.

Keputusan memberikan Nice 40 mata daripada 17 perlawanan, kelebihan satu mata berbanding Monaco yang menewaskan Bordeaux 4-0, Sabtu lalu di tempat kedua manakala PSG yang dibimbing Unai Emery ketinggalan empat mata.

Pengurus Nice, Lucien Favre tampak lega dengan satu mata yang diperoleh selepas Cavani menyempurnakan peluang pada minit ke-46 untuk gol pertama PSG sebelum menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-60.

"Kami yang paling kecewa di sini, mereka menampilkan rentak yang buruk pada awalnya dan ia menyukarkan buat kami namun kemudian mereka bangkit dengan dua gol hebat," kata Favre.

PSG memperoleh beberapa peluang menjaringkan gol namun kecemerlangan penjaga gol Nice Yoan Cardinale yang melakukan aksi menyelamat hebat bagi menyelamatkan gawangnya.

Penyerang kontroversi, Mario Balotelli yang dimasukkan pada masa kecederaan berjaya menghasilkan cubaan berbahaya namun diselamatkan penjaga gol PSG, Alphons Areola.

"Perlawanan ini memberitahu kami sesuatu yang kami tidak tahu mengenai diri kami. Ia meletakkan kami kekal di puncak dan kami boleh melakukannya dengan lebih baik," kata penjaring gol pertama Nice, Cyprien. - AFP

Berita Harian X