Jumaat, 9 Disember 2016 | 3:47pm

Blatter bengang sikap Presiden FIFA

SEPP Blatter dan Gianni Infantino.
SEPP Blatter dan Gianni Infantino.

LONDON: Bekas Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter menuduh penggantinya, Gianni Infantino tidak menghormatinya selepas tidak membalas panggilan telefon yang dibuatnya.

Blatter, 80, gagal dalam rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Isnin lalu terhadap penggantungan selama enam tahun atas pencabulan etika ketika badan induk bola sepak itu dipalit skandal rasuah terbesar.

CAS memutuskan tindakannya membenarkan bayaran kepada bekas pemain antarabangsa Perancis, Michel Platini yang kemudian menjadi bos bola sepak Eropah, bernilai lebih daripada AS$2 juta dolar (RM8.85 juta) sebagai "hadiah yang tidak wajar" dan disebabkan itu ia melanggar kod etika FIFA.

Blatter memberitahu di dalam program BBC World Football bahawa dia sudah bertemu dengan rakan senegaranya, Infantino yang mengambil alih jawatan selaku presiden pada Februari lalu untuk membincangkan "persoalan yang perlu diselesaikan" di FIFA.

"Selepas pemilihan kami mempunyai hubungan yang sangat baik dan dia pergi di rumah saya dan kami berbual," kata Blatter. "Saya memberitahunya saya mempunyai senarai soalan yang perlu diselesaikan di FIFA yang belum diselesaikan sebelum ini.

"Dia berkata, 'saya akan berusaha ke arah itu', dan dia tidak pernah kembali. Saya bertanya kepadanya kembali, saya sudah menghantar surat kepadanya dan saya mempunyai nombor telefon peribadinya dan saya diberitahu bahawa ia masih betul.

"Tidak, tiada sebarang jawapan, tiada," kata Blatter. "Saya tidak pernah melihat dalam mana-mana syarikat dengan presiden yang baharu... tidak menghormati presiden yang sebelum ini." - Reuters

Berita Harian X