Ahad, 4 Disember 2016 | 7:37am

Monaco pesta gol, PSG diaib Montpellier

PEMAIN Monaco, Bernardo Silva (tengah) diasak pemain Bastia, Yannick Cahuzac (kiri) dan Gilles Cioni pada aksi Ligue 1 di Stadium Louis II, malam tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Monaco, Bernardo Silva (tengah) diasak pemain Bastia, Yannick Cahuzac (kiri) dan Gilles Cioni pada aksi Ligue 1 di Stadium Louis II, malam tadi. - Foto Reuters

PARIS: Penyerang Colombia, Radamel Falcao meledak dua jaringan ketika membantu Monaco membelasah Bastia 5-0 untuk melonjak ke tangga teratas Ligue 1 malam tadi, dengan juara bertahan Paris Saint-Germain kalah mengejut 3-0 di Montpellier.

Bagaimanapun, aksi minggu ke-16 dicemari insiden penjaga gol dari Portugal, Anthony Lopes dilontar mercun untuk menyaksikan pertemuan antara Lyon dan Metz ditangguhkan, sekali gus timbul kebimbangan bintang Lyon itu mungkin kehilangan pendengarannya.

Di Stade Louis II, Kylian Mbappe membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 sebelum Monaco berpesta jaringan ke atas Bastia dengan empat jaringan babak kedua - Thomas Lemar dan Guido Carillo yang turut melengkapkan koleksi dua gol Falcao.

Skuad bimbingan Leonardo Jardim bangkit daripada kekecewaan terikat 1-1 di Dijon, Selasa lalu untuk memintas sementara Nice berdasarkan kelebihan gol, dengan mereka menerima kunjungan Toulouse malam ini.

Sementara itu, PSG pula gagal meneruskan rentak kemenangan keenam berturut-turut apabila tunduk kepada Montpellier dengan juara liga 2011-12 itu meledak sebelum rehat separuh masa menerusi Paul Lasne.

Ellyes Skhiri melebarkan kedudukan itu sejurus bersambung babak kedua sebelum Ryad Boudebouz melengkapkan petang yang bergaya itu dengan jaringan individu yang menarik 10 minit sebelum tamat perlawanan.

"Montpellier cekap menggunakan peluang yang ada, sementara kami pula tidak," kata pertahanan PSG, Marquinhos kepada Canal+ Sport.

"Ia adalah perlawanan yang sukar, Montpellier memiliki sebuah unit pertahanan yang hebat. Selepas menjaringkan gol pertama, ia menjadi begitu sukar buat kami.

"Kami tidak boleh mengulangi kesilapan sama untuk aksi seterusnya jika kami berhasrat menjadi juara. Kami perlu kembali bekerja."

PSG berdepan pasukan dari Bulgaria, Ludogorets dalam aksi Liga Juara-Juara Selasa ini tatkala mereka cuba mengesahkan status juara Kumpulan A sebelum bertemu Nice hujung minggu akan datang. - AFP

Berita Harian X