Jumaat, 2 Disember 2016 | 6:48pm

Terbuka Macau: Dua beregu negara ke separuh akhir

PASANGAN bergu negara Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei.
PASANGAN bergu negara Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei.

KUALA LUMPUR: Beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, menamatkan penantian selama 18 bulan untuk mara ke separuh akhir selepas mengesahkan tempat dalam kelompok empat terbaik Terbuka Macau, hari ini.

Kejayaan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 itu hadir selepas mereka menewaskan pasangan Taiwan, Hao Yun Wen-Jing Ya Ye 21-15, 21-18 dalam aksi suku akhir, yang berlangsung di Tap Seac Multisport Pavilion Macau.

Ia adalah kali pertama Vivian-Khe Wei melangkah ke separuh akhir selepas kali terakhir melakukannya pada Terbuka Indonesia, Jun tahun lalu.

"Hari ini sebenarnya kami tidak bermain dengan baik tetapi sangat gembira kerana masih berjaya mara ke separuh akhir, apa lagi sudah lama tidak ke separuh akhir," kata Vivian ketika dihubungi di Macau, hari ini.

Vivian-Khe Wei akan bertemu beregu Indonesia, Anggia Shitta Awanda-Mahadewi Istirani Ni Ketut, yang mara selepas mengatasi Chiang Kai Hsin-Hung Shih Han dari Taiwan 21-17, 21-15.

"Kami pernah berdepan dengan mereka tiga kali dan menang semuanya. Namun, mereka memberikan saingan yang sengit dan kami tahu ia akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar esok. Jadi, kami perlu buat persiapan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, semakin hampir dalam misi memburu gelaran antarabangsa ketiga apabila turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan Alfian Eko Prasetya-Annisa Saufika dari Indonesia 22-20, 24-22.

Mereka akan bertemu gandingan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet bagi persaingan merebut tempat ke final, esok.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan wanita muda negara, Goh Jin Wei, apabila langkahnya tersekat di suku akhir selepas tunduk di tangan pilihan keenam dari China, Chen Yunfei 14-21, 10-21.

Berita Harian X