Ahad, 20 November 2016 | 6:04pm

Trofi Skuasy Kebangsaan kekal milik Delia

LOW Wee Wern (kanan) dan Delia Arnold beraksi pada perlawanan final di Pusat Skuasy Nasional, sebentar tadi. - Foto Owee Ah Chun
LOW Wee Wern (kanan) dan Delia Arnold beraksi pada perlawanan final di Pusat Skuasy Nasional, sebentar tadi. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Hajat bintang nombor tiga negara, Low Wee Wern untuk merampas Kejuaraan Skuasy Kebangsaan musnah apabila tewas di tangan juara bertahan, Delia Arnold pada aksi final di Pusat Skuasy Nasional, sebentar tadi.

Pada pertarungan yang berlarutan selama 47 minit itu, Wee Wern hanya mampu memberi sedikit tentangan sebelum tewas straight set 11-9, 11-2, 11-9 untuk memberikan gelaran kedua berturut-turut buat Delia pada edisi ke-32 itu.

Wee Wern yang masih bergelut selepas dihantui masalah kecederaan lutut kiri sepanjang tahun ini ketika ditemui, mengakui amat kecewa untuk tewas kepada pemain ranking ke-15 dunia itu.

"Namun, apa yang lebih mengecewakan saya adalah disebabkan kegagalan mengawal tempo permainan.

"Secara jujur ia berpunca daripada beberapa keputusan pengadil yang menyebabkan saya kehilangan fokus.

"Terutamanya pada set kedua, tetapi saya tidak boleh melakukan apa-apa meskipun ada beberapa insiden yang tidak menyebelahi saya," kata pemain yang menduduki ranking ke-27 dunia itu.

Kekalahan itu menyaksikan dia gagal dalam usaha merampas semula gelaran yang pernah dimenanginya pada edisi 2014 dan 2012.

Bagi Delia pula, kemenangan itu adalah satu permulaan baik buatnya yang akan turun beraksi dalam Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia di Moulineaux, Perancis bermula 27 November ini.

"Memang saya amat gembira dengan kemenangan ini kerana sejak dari awal saya menjangkakan tentangan sengit daripada Wee Wern kerana dalam pertemuan terakhir dia gagal beraksi dengan baik gara-gara belum pulih sepenuhnya.

"Kali ini dia beraksi lebih baik, masih belum 100 peratus tetapi sudah 80 peratus daripada prestasi sebenarnya dan saya gembira untuknya.

"Sementara itu, Nafiizwan Adnan pula bergelar juara bagi kategori lelaki apabila berhempas pulas untuk mengetepikan cabaran Ivan Yuen 11-8, 8-11, 12-10, 11-8.

Berita Harian X