Isnin, 14 November 2016 | 6:41pm

Bola tampar buru pingat di Sukan SEA 2017

DR Hii Sui Cheng (dua dari kanan) menerima tajaan daripada Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Ng Ping Loong (tengah) ketika majlis Memperkenalkan Kejohanan Bola Tampar Milo-Malaysia Ke-16 (Bawah 14 Tahun dan Bawah 16 Tahun) di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) hari ini. - Foto BERNAMA
DR Hii Sui Cheng (dua dari kanan) menerima tajaan daripada Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Ng Ping Loong (tengah) ketika majlis Memperkenalkan Kejohanan Bola Tampar Milo-Malaysia Ke-16 (Bawah 14 Tahun dan Bawah 16 Tahun) di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) mahu menyumbang pingat pada Sukan SEA 2017 yang dianjurkan di negara ini pada 19 hingga 31 Ogos tahun depan, sekali gus menamatkan kemarau pingat selama 15 tahun.

Presidennya, Dr Hii Sui Cheng berharap hasrat itu mampu direalisasikan dengan pelan pembangunan dan perancangan rapi MAVA untuk meningkatkan prestasi skuad negara di peringkat antarabangsa.

Katanya, seramai 18 pemain masing-masing dalam skuad lelaki dan wanita sedang menjalani latihan untuk sukan dwitahunan itu sejak Oktober tahun lalu, yang kini memasuki fasa kedua.

"Pasukan lelaki berlatih secara separuh masa di Shah Alam kerana kebanyakan pemain mempunyai komitmen kerja atau masih belajar manakala skuad wanita berlatih sepenuh masa di Sibu, Sarawak dengan semua kos ditanggung persatuan.

"Daripada 18 pemain ini, hanya 12 pemain terbaik akan dipilih ke fasa tiga dan terakhir yang bermula Mac depan sehingga Sukan SEA berlangsung," katanya pada sidang media Kejohanan Belia Kebangsaan Bawah 16 Tahun (B-16) dan B-14, di sini, hari ini.

Sebagai persediaan, pasukan lelaki akan beraksi di Kejohanan Kelab Asia yang bakal dianjurkan Malaysia dan Kejohanan Jemputan di Singapura manakala skuad wanita pula akan menyertai Kejohanan Kelab Asia di Kazakhstan dan Pertandingan Jemputan di Vietnam, tahun hadapan.

Sebagai rekod, skuad lelaki negara pernah meraih pingat perak Sukan SEA apabila Malaysia menjadi tuan rumah pada 2001, manakala pasukan wanita pula meraih gangsa pada 1983 di Singapura.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo memuji MAVA yang komited dalam menyediakan perancangan jangka panjang untuk pembangunan sukan bola tampar negara.

"Sukan ini adalah sukan yang MOM sokong kerana kami lihat MAVA mempunyai rancangan jangka panjang, bukan setakat 2017 tetapi sehingga Sukan SEA 2021 di Vietnam.

"Bukan semua persatuan sukan mempunyai perancangan sebegini.

"Kami sedar bukan semua sukan akan menang pingat di Sukan SEA, tetapi sekiranya mereka mengikut perancangan, kemungkinan peluang meraih pingat adalah tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Kejohanan Belia Kebangsaan kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan adanya peningkatan dalam jumlah penyertaan.

Sebanyak 11 pasukan lelaki dan sembilan pasukan wanita akan mengambil bahagian dalam kategori B-16 tahun di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai bermula 27-30 November ini.

Bagi kategori B-14 tahun yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Bola Tampar Sibu bermula 7 hingga 11 Disember pula, sebanyak lapan pasukan lelaki dan tujuh pasukan wanita akan mengambil bahagian. - BERNAMA

Berita Harian X