Sabtu, 12 November 2016 | 9:40pm
Hafizh Syahrin Abdullah
Hafizh Syahrin Abdullah

Hafizh dibenar sertai latihan bebas 3 GP Valencia

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah dibenarkan beraksi untuk sesi latihan bebas 3 dan juga kelayakan Grand Prix (GP) Valencia hari ini selepas selesai menjalani rawatan susulan di Clinica Mobile, sebentar tadi.

Semalam, pelumba PETRONAS Raceline itu terpaksa melupakan kedua-dua sesi latihan bebas selepas dinasihatkan pegawai perubatan supaya berehat ekoran masalah keracunan makanan.

"Alhamdulillah," lapor laman peminat Facebook rasminya, Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao sebentar tadi.

"Doktor membenarkan Hafizh Syahrin beraksi untuk FP3 (sesi latihan bebas 3) dan QP (kelayakan) Moto2 hari ini. Hafizh baru saja selesai membuat pemeriksaan kesihatan beliau di Clinica Mobile."

Sebagai rekod, Hafizh kini sudah mengumpul 117 mata untuk berada di tangga kesembilan keseluruhan tatkala GP Valencia menjadi kemuncak perlumbaan bagi musim 2016.

Sesi kelayakan untuk kelas Moto2 dijadual berlangsung pada jam 10.05 malam ini.

Berita Harian X