Jumaat, 11 November 2016 | 8:09pm

Jin Wei gagal pertahan mahkota kejuaraan dunia

PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei. - Foto Osman Adnan
PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei gagal mempertahankan kejuaraan dunianya selepas ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kelima Kejohanan Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol.

Jin Wei tidak dapat mengekalkan rentak kemenangan untuk mara ke pusingan suku akhir selepas kalah kepada pemain Jepun, Natsuki Oie, 21-10, 16-21, 16-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama 58 minit.

Namun pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Leong Jun Hao-Ooi Zi Heng terus mempamerkan aksi cemerlang dengan meneruskan cabaran negara di pusingan suku akhir, menurut laman web kejohanan www.bwf.tournamentsoftware.com.

Zii Jia yang juga pemain pilihan kedua kejohanan mudah mengenepikan pencabarnya, Jason Anthony Ho Shue dari Kanada 21-14, 21-13 dan bakal berdepan Toma Junior Popov dari Perancis di suku akhir.

Popov mengalahkan Kodai Naraoka dari Jepun 21-17, 21-18 dalam satu lagi aksi pusingan kelima manakala Leong-Ooi mengalahkan Sheng Chieh-Lu Chen dari Taiwan 21-17, 21-11 dalam perlawanan pusingan keempat.

Menanti Leong-Ooi di suku akhir adalah beregu pilihan utama Han N Chengkai-Zhou Haodong dari China yang mudah menewaskan beregu Rusia, Rodion Alimov-Pavel Kotsarenko 21-12, 21-14. - BERNAMA

Berita Harian X