X
Rabu, 9 November 2016 | 10:51am

Ex-Kelantan, Ex-Malaysia bukti masih berbisa

KOTA BHARU: Perlawanan persahabatan antara bekas pemain Kelantan-Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (Ex-Kelantan-PKINK) menentang pasukan legenda bola sepak negara (Ex-Malaysia) membuktikan bekas-bekas pemain terbabit belum hilang sentuhan dan masih berbisa.

Malah perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV Sabtu lalu itu mampu menarik kira-kira 3,000 penonton yang jelas terhibur dengan aksi mereka dan mengimbau kembali kehebatan pemain berkenaan.

Bekas pemain negara, Khalid Ali yang beraksi bersama Ex-Malaysia berkata, perlawanan itu mengimbau kembali kenangannya ketika beraksi sebagai pemain era 70-an dulu.

 

"Ini macam perjumpaan semula kami (bekas pemain kebangsaan) dan saya berbangga dapat bermain di Kelantan dan saya lihat pemain Kelantan ramai yang berkaliber," katanya selepas perlawanan itu.

Pendapat Khalid itu turut disokong ketua pasukan Ex-Malaysia, Datuk Soh Chin Aun atau lebih dikenali 'Tauke'.

"Walaupun pasukan saya tewas 2-0 namun saya seronok dapat beraksi dalam perlawanan ini.

"Lagipun selepas sekian lama, kami berjumpa kembali, saya pun dah tak ingat bila kali terakhir datang Kelantan, dah lama sangat," katanya.

 

Antara pemain membarisi Ex-Malaysia ialah Ahmad Yusoff, Yunus Alif, Datuk Hassan Sani dan Azlan Johar manakala Ex-Kelantan-PKINK pula diwakili Zahasmi Ismail, Anuar Rajib, Aziz Mustafa, Hashim Mustafa serta Mohd Badri Radzi.

 

Bagi pengurus pasukan Ex-Kelantan-PKINK, Aziz Mahmud berkata keputusan perlawanan itu tidak penting kerana apa yang lebih utama peminat bola sepak Kelantan dapat melihat aksi legenda bola sepak negara.

 

Katanya, dengan sambutan yang diterima, dia tidak menolak untuk mengadakan perlawanan persahabatan lagi di masa akan datang.

 

"Untuk perlawanan ini, kita hanya sempat berlatih lapan hari saja, tapi keputusan menang kalah bukan ukuran," katanya.

 

Perlawanan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) itu diadakan sempena sambutan Jubli Emas 50 PKINK.

Berita Harian X