Ahad, 6 November 2016 | 1:30am
PEMAIN Pakistan, Shakeel Ammad (dua dari kiri) diasak Pemain Australia, Matthew Bird (tiga dari kanan) pada pusaingan awal kejohanan. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PEMAIN Pakistan, Shakeel Ammad (dua dari kiri) diasak Pemain Australia, Matthew Bird (tiga dari kanan) pada pusaingan awal kejohanan. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Australia, Pakistan berentap final Piala Sultan Johor

JOHOR BAHRU: Australia dilihat memiliki kelebihan untuk muncul juara buat kali pertama pada Kejuaraan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2016 apabila bertemu Pakistan dalam perlawanan akhir esok.

Australia, yang tewas 3-2 kepada Malaysia pada final edisi pertama 2011, menempah slot final selepas muncul juara pusingan awal dengan 11 mata setelah seri 2-2 dengan England hari ini.

Pakistan pula melangkah ke final buat julung kali dalam lima percubaan sebelum ini selepas mengalahkan Jepun 2-1, sekali gus melengkapkan jadual perlawanan awal di tangga kedua dengan sembilan mata.

Australia amat mengimpikan gelaran berprestij dalam kejohanan antarabangsa bawah 21 tahun itu sebagai penyuntik semangat menjelang pusingan akhir Piala Dunia Remaja di Lucknow, India, bermula 8 Disember ini.

"Kami gembira untuk berada di pentas final. Kehadiran di sini adalah persiapan yang baik menjelang Piala Dunia Remaja dan kami menganggap final di sini sama pentingnya dengan mana-mana perlawanan final.

"Final ini adalah satu cabaran memandangkan kedua-dua pasukan telah bertemu dalam pusingan awal dan saya menjangka kali ini sesuatu yang berbeza," kata jurulatih pasukan 'Burras', Ben Bishop.

Australia melaungkan amaran awal mahu melakar nama di atas trofi berprestij itu apabila memulakan saingan dengan membelasah Jepun 6-0, New Zealand 9-1 dan Pakistan 8-1 sebelum terikat 2-2 dengan Malaysia dan England.

Usaha memburu kejuaraan tahun ini digalas oleh kehebatan barisan penyerang Australia yang menjaringkan sejumlah 27 gol dan hanya membolos enam gol dalam lima perlawanan peringkat pusingan awal.

Mengambil kira rekod cemerlang membelasah Pakistan 8-1 kelmarin, Australia pasti akan mampu mengulangi kehebatannya namun Pakistan dijangka menampilkan tahap permainan yang harus disegani di pentas final.

Bagaimanapun, kejayaan melangkah ke final pertama telah memberikan Pakistan pembakar semangat yang amat diperlukan biarpun berdepan dengan Australia.

Walaupun dianggap pasukan bukan pilihan, Pakistan telah mencapai sasaran awal untuk berada di podium.

Jurulatih Pakistan, Tahir Zaman, mengakui kekuatan Australia dan mahu anak buahnya menampilkan aksi baik tanpa sebarang tekanan.

"Final adalah perlawanan yang berbeza, ...bukan perlawanan seperti kita dibuli sebelum ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X