Selasa, 1 November 2016 | 4:58pm

Fiesta Bera, kempen #1M1H Muar meriah

BERA: Seramai 29 bekas pemain kebangsaan menyertai Fiesta Bera yang berlangsung di padang Majlis Daerah Bera, kelmarin.

Daripada jumlah itu, 18 orang adalah bekas pemain bola sepak negara manakala selebihnya terdiri daripada bekas pemain bola jaring kebangsaan, yang masing-masing menyertai perlawanan persahabatan menentang pasukan pilihan ahli Parlimen Bera, Datuk Sri Ismail Sabri.

Pemain veteran mewakili Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) terdiri daripada legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh, Khalid Ali, Zolkifli Ahmad, Kamarul Zaman Yussoff, Azlan Johar, Hanafiah Ali, Razip Ismail, Ahmad Yusof, Faizul Ghaffar, Yunus Alif, Naharuddin Mohd Din, Md Noor Yaakub, Shaharuddin Mohd, Raymond Ragunathan, Azhar Sharif dan Muaza.

Barisan pemain veteran bola jaring pula dibarisi oleh Nor Aidah Ariffin, Fazdlun Abas, Afzan Mahadi, Ana Mohzan, Suriyati Hamzah, Wong May Yee, Siti Norhaniza Ahmad dan Siti Afizah Mohd Noh.

Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abdul Manaf, berkata penampilan semua bekas pemain kebangsaan itu bertujuan memeriahkan lagi Fiesta Bera selain melengkapkan aktiviti program dengan mengetengahkan sukan bagi mengimbangi elemen hiburan kepada pengunjung.

"YAKEB ingin menggunakan peluang ini agar orang ramai dapat beramah mesra bersama semua pemain bintang. Secara tidak langsung ia memberi impak positif kepada bekas atlet negara mengimbau kembali nostalgia mereka suatu ketika dulu.

"Selain beriadah, masyarakat setempat juga dapat menyaksikan bakat terpendam penduduk, berseronok serta dapat berinteraksi dengan pemimpin dalam suasana santai," katanya yang mengetuai rombongan berkenaan.

Sementara itu, sehari sebelum program di Bera, skuad #1M1H YAKEB berkunjung ke Muar, Johor untuk perlawanan akhir Liga Bola Sepak Veteran Parlimen Muar di bawah kempen #1Malaysia 1Hope serta perlawanan persahabatan menentang pilihan Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim.

Selain dua perlawanan bola sepak, bekas atlet turut mengadakan aktiviti klinik bola sepak yang disertai lebih 100 murid sekolah yang terpilih di sekitar Muar.

Mengulas mengenai kempen #1M1H, Pengerusi YAKEB, Datuk Malek Noor berkata aktiviti membabitkan bekas atlet mendekati masyarakat berbilang kaum bersama pemimpin membantu menyemarakkan semangat perpaduan, sekali gus memaklumkan pihaknya akan terus melaksanakan kempen itu ke seluruh negara seperti dirancang.

Berita Harian X