Isnin, 31 Oktober 2016 | 10:57pm

SOJC: Australia, Pakistan dan England langkah kanan

PEMAIN Australia, Welch Jack (kiri) diasak pemain Jepun, Tanimi Miyu (kanan) pada SOJC 2016, di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PEMAIN Australia, Welch Jack (kiri) diasak pemain Jepun, Tanimi Miyu (kanan) pada SOJC 2016, di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Pasukan hoki remaja, Australia, Pakistan dan England bermula dengan langkah kanan apabila berjaya mencatat kemenangan pada aksi pertama masing-masing di Kejuaraan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2016 yang berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, di sini hari ini.

Pasukan pilihan kejohanan, England berjaya meraih tiga mata pertama selepas mengalahkan Malaysia 3-1, malam ini.

England membuka jaringan menerusi gol padang Page Nick pada minit ke-18 sebelum skuad hoki remaja negara menyamakan kedudukan menerusi jaringan gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-23.

Kegembiraan skuad negara tidak kekal lama apabila pasukan pelawat memperoleh gol kedua menerusi pukulan sudut penalti yang dihasilkan oleh Will Calnan seminit kemudian sebelum Christopher Proctor mengesahkan kemenangan bagi pasukan pelawat pada minit ke-60.

Pada perlawanan sebelah petang, Australia membelasah Jepun 6-0 dan sekali gus berjaya membuktikan bahawa mereka bukan lagi pasukan bawahan yang sebelum ini menduduki tangga kedua tercorot di belakang Pakistan pada edisi 2015.

Australia membuka jaringan seawal minit keenam menerusi pukulan sudut penalti yang dihasilkan oleh Andrew Scanlon sebelum Kiran Arunasalam menggandakan gol menerusi gol padang pada minit ke-19.

Jepun terus lemas dihimpit barisan serangan Australia apabila Joshou Simmonds menjadikan kedudukan 3-0 menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-23.

Pada babak kedua perlawanan, kegagalan Jepun menggunakan peluang daripada dua pukulan sudut penalti membuka peluang kepada Australia terus memperkukuhkan kedudukan 4-0 menerusi gol padang oleh Max Hendrey pada minit ke-61.

Australia melengkapkan kemenangan menerusi dua gol padang yang masing-masing dijaringkan oleh Tom Craig dan Max Hendrey pada minit ke-63 dan minit ke-70.

Pasukan tercorot pada edisi tahun lepas, Pakistan berjaya membuktikan bahawa mereka bukan lagi pasukan belasahan setelah berjaya mencatat kemenangan bergaya 5-2 keatas pasukan pilihan New Zealand pada satu lagi aksi sebelah petang hari ini.

Pakistan memulakan rentak bergaya apabila Muhammad Bilal Qadir membuka jaringan menerusi gol padang pada minit ke-22 sebelum Ali Mubasshir menambah jaringan menjadi 2-0 menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-33.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, New Zealand yang dikenali sebagai 'The Black Sticks' bangkit meraih gol pertama menerusi gol padang Sam Lane pada minit ke-46 sebelum pemain Pakistan, Rana Rizal menghasilkan gol ketiga menerusi gol padang dua minit kemudian.

Bangkit merapatkan jurang kedudukan, Max Wilcox menjaringkan gol kedua bagi pasukan New Zealand menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-59, namun demikian kegembiraan New Zealand tidak kekal lama apabila pemain Pakistan, Rana Riza menjarakkan kedudukan 4-2 menerusi gol padang pada minit ke-65.

Pakistan melengkapkan kemenangan 5-2 menerusi gol padang Muhammd Dilber pada minit ke-70. - BERNAMA

Berita Harian X