Isnin, 31 Oktober 2016 | 1:39am

India juara hoki Trofi Juara-Juara Asia

PEMAIN India bersama trofi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2016 selepas muncul juara mengalahkan Pakistan di Stadium Hoki Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir
PEMAIN India bersama trofi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2016 selepas muncul juara mengalahkan Pakistan di Stadium Hoki Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: India berjaya membawa balik Trofi Juara-Juara Asia 2016 selepas lima tahun apabila mengalahkan musuh tradisi, Pakistan, 3-2 pada perlawanan final di Stadium Hoki Kuantan, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus mengulangi kejayaan India pada edisi sulung 2011 serta menafikan Pakistan kejuaraan hatrik selepas edisi 2013 dan 2014.

Jaringan padang oleh penyerang veteran berusia 25 tahun, Chandanda Thimmaiah, pada minit ke-51 telah mengesahkan trofi itu akhirnya kembali semula ke bumi India.

Kejayaan itu bertambah manis apabila India turut memenangi tiga daripada lima anugerah dengan Sardar Singh dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

Selain itu, pakar pukulan sudut, Rupinder Pal Singh merangkap kapten pasukan menang dua anugerah iaitu Pemain Terbaik Kejohanan dan Penjaring Gol Paling Banyak dengan 11 jaringan termasuk gol pembukaan di pentas final pada minit ke-18.

Pemain veteran Malaysia, S Kumar dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik manakala Ahmed Shaleel dari Pakistan memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik.

Dalam pertembungan dua musuh tradisi itu, kedua-dua pasukan saling berkongsi asakan sehingga Rupinder menyudahkan sentuhan pukulan sudut penalti untuk meletakkan India di hadapan.

Bantuan sokongan padu oleh lebih 200 penyokong setia telah menyuntik semangat India untuk melebarkan jaringan pada minit ke-23 menerusi percubaan padang oleh Yousof Affan.

Pakistan yang tersentak dengan kedudukan itu, bagaimanapun, bangkit merapatkan jurang apabila Muhammad Aleem Bilai meledakkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-26.

India mendahului 2-1 pada separuh masa.

Pada babak kedua, Pakistan, menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang oleh Ali Shan pada minit ke-48 sehingga mencetuskan perlawanan bertambah rancak.

Kegigihan pasukan India untuk enggan melepaskan peluang di gawang lawan akhirnya berbaloi apabila Chandanda mengesahkan kejuaraan itu dengan sentuhan emas.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

-- BERNAMA

Berita Harian X