Ahad, 30 Oktober 2016 | 9:53pm

Malaysia tempat ketiga hoki Trofi Juara-Juara Asia

PEMAIN Malaysia gembira selepas memenangi tempat ketiga Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2016 selepas menewaskan Korea Selatan di Stadium Hoki Kuantan hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
PEMAIN Malaysia gembira selepas memenangi tempat ketiga Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2016 selepas menewaskan Korea Selatan di Stadium Hoki Kuantan hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Malaysia meraih tempat ketiga Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia 2016 apabila menundukkan Korea Selatan 3-1 menerusi pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Hoki Kuantan di sini, hari ini.

Berikutan keputusan itu, Korea Selatan terpaksa berpuas hati di tempat keempat dalam kejohanan yang berlangsung selama 10 hari itu.

Tiga gol Malaysia dijaringkan Firhan Ashari, Faizal Saari dan Nabil Noor sementara gol tunggal Korea Selatan dijaringkan Kang Moonkyu.

Sebelum diheret kepada penentuan pukulan penalti, Malaysia memperoleh gol pertama pada minit ke-14 menerusi Shahril Saabah yang menghasilkan gol padang.

Selang tiga minit, kapten Korea Selatan Jung Manjae berjaya menyamakan kedudukan 1-1 melalui jaringan pukulan sudut penalti.

Pada babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan berusaha untuk membolosi gawang lawan masing-masing tetapi gagal untuk mencipta sebarang jaringan dan keputusan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan. - BERNAMA

Berita Harian X