Sabtu, 29 Oktober 2016 | 11:21pm

Hoki: India, Pakistan tentukan gelaran malam esok

Pemain Pakistan meraikan kemenangan selepas menewaskan Malaysia 3-2 melalui penalti shot out dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia kali ke 4 di Stadium Hoki Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir
Pemain Pakistan meraikan kemenangan selepas menewaskan Malaysia 3-2 melalui penalti shot out dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia kali ke 4 di Stadium Hoki Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Penyandang juara Pakistan dan India melangkah ke pentas final Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Stadium Hoki Wisma Belia, sebentar tadi.

Ia seperti kebetulan apabila kedua-dua negara kuasa besar hoki Asia itu layak ke final menerusi penentuan penalti.

India sebelum itu menewaskan Korea Selatan 5-3 pada penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam aksi sebenar perlawanan sementara Malaysia pula akur di tangan Pakistan 3-2 selepas terikat 1-1 dalam aksi sebenar.

Kekalahan Malaysia di depan lebih 5,000 penyokong sendiri itu meranapkan impian mereka untuk mencipta sejarah kali pertama layak ke pentas final Trofi Juara-Juara Asia selepas gagal dalam tiga percubaan sebelum ini.

Biarpun tewas gara-gara nasib tidak menyebelahi Faiz Helmi Jali, Shahril Saabah dan Fitri Saari yang gagal menyumbat gol dalam penentuan penalti, namun sikap tidak berputus asa skuad negara wajar mendapat pujian semua.

Terdahulu, Malaysia terpaksa 'berkampung' pada suku pertama apabila penyandang juara edisi 2013 itu melancarkan serangan bertali arus dari segenap penjuru padang menerusi trio serangannya Umar Bhutta, Abdul Khan dan Ahmad Ajaz.

Kesungguhan Pakistan itu menghasilkan tiga pukulan sudut penalti dengan satu daripadanya berjaya menerjah gawang negara yang dikawal S Kumar tetapi pengadil dari Afrika Selatan Peter Wright membatalkan jaringan kontroversi minit ke-10.

Suku kedua, skuad negara meningkatkan rentak permainan dan hasilnya penyerang sensasi Shahril Saabah menggamatkan Stadium Hoki Wisma Belia menerusi penyudah padu pukulan sudut penaltinya pada minit ke-17.

Gol itu nyata meniupkan semangat pasukan ranking ke-14 dunia itu yang kembali mendominasi permainan sehingga menuju ke bilik persalinan bagi rehat separuh masa.

Empat minit bersambung suku ketiga, pintu gol Malaysia akhirnya roboh di tangan Pakistan apabila penyerangnya Abdul Khan mudah menampan masuk bola ketika situasi kelam kabut dalam kawasan D.

Sementara itu, pasukan pilihan India memerlukan jaringan lewat permainan Ramandeep Singh untuk mengheret Korea Selatan ke penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi sebenar 60 minit.

Bagaimanapun, anak didik Roelant Oltmans terlebih dulu berada di depan hasil jaringan padang Talwinder Singh pada minit ke-15, tetapi segera disamakan Seo Inwoo enam minit kemudian.

Minit ke-53, tiba giliran skuad Song Seung Tae menerajui permainan apabila Yang Jihun tidak menghadapi masalah menyempurnakan pukulan strok yang dihadiahkan akibat daripada tindakan Rupinder Pal Singh menahan bola menggunakan badan di atas garisan gol sebelum jaringan lewat Ramandeep membawa perlawanan ke penentuan penalti.

China pula menewaskan Jepun 4-3 dalam pertemuan klasifikasi tempat 5/6 untuk sekali gus memperbaiki pencapaian terakhir pada edisi 2013.

Berita Harian X