Khamis, 27 Oktober 2016 | 9:35pm

Hoki: Giliran Pakistan ke separuh akhir

PEMAIN Pakistan meraikan gol pertama ketika menentang China dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia kali ke 4 di Stadium Hoki Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir
PEMAIN Pakistan meraikan gol pertama ketika menentang China dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia kali ke 4 di Stadium Hoki Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Penyandang juara, Pakistan menjadi pasukan terakhir melangkah ke pentas separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia 2016 QNET selepas mengatasi China 4-0 di Stadium Hoki Wisma Belia, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Khawaja Muhammad Junaid menyertai pasukan berstatus Olimpik, India, tuan rumah Malaysia dan Korea Selatan ke aksi separuh akhir pada Sabtu ini.

Bagaimanapun, Pakistan perlu menunggu keputusan aksi antara Malaysia menentang Korea Selatan selepas ini untuk mengetahui lawan yang akan ditemui pada peringkat kalah mati saingan hoki paling berprestij Asia ini.

China yang wajib mencari lebih daripada 13 gol sekiranya berhajat memintas kedudukan keempat Pakistan, nyata tertekan apabila bermain dengan tempo permainan yang pantas pada 15 minit pertama.

Taktikal mereka itu akhirnya menjerat diri sendiri apabila pemain mula kepenatan sekali gus membawa kepada 'bencana' yang menyaksikan pintu gol Tembok Besar China itu roboh pada minit ke-21 hasil gol pukulan sudut penalti, Abdul Khan.

Tersentak dengan jaringan itu, China cuba bangkit dengan meraih dua pukulan sudut penalti, namun gagal disudahkan dengan baik oleh Zhang Thazou.

Pakistan memperoleh peluang menambah jaringan kedua di penghujung suku kedua namun gol pukulan sudut penalti Muhammad Aleem Bilal dibatalkan sebelum Abdul Khan menghasilkan jaringan kedua sebaik bermula suku ketiga.

Penyerang import Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Ali Shan dan Irfan Jnr Muhammad menamatkan sisa-sisa perjuangan China apabila memastikan tiket ke separuh akhir buat Pakistan dengan jaringan padang pada minit ke-47 dan 48.

Berita Harian X