Rabu, 26 Oktober 2016 | 1:10pm

Pacquiao belum pasti tarikh persaraan dunia tinju

BINTANG tinju Filipina, Manny Pacquiao. - Foto fail AP
BINTANG tinju Filipina, Manny Pacquiao. - Foto fail AP

LOS ANGELES: Bintang tinju Filipina, Manny Pacquiao mengakui dia belum membuat sebarang keputusan mengenai kerjaya tinjunya pada masa depan selepas pertarungan menentang Jessie Vargas, di sini, bulan depan.

Pacquiao, 37, dijadual kembali ke gelanggang tinju selepas empat bulan 'berehat' untuk bertemu dengan juara welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBO) Vargas pada 5 November.

Namun Pacquiao berkata dia belum memikirkan hala tujunya dalam sukan itu selepas perlawanan menentang Vargas lebih-lebih lagi selepas terpilih sebagai senator Filipina yang memerlukannya berkhidmat untuk masyarakat Filipina yang memilihnya.

"Buat masa ini, tumpuan saya adalah perlawanan menentang Vargas. Kemudian saya akan pulang melaksanakan tugas saya, selepas barulah saya akan fikirkan mengenai rancangan 2017," katanya.

Ditanya sama ada dia akan kembali aktif bertarung, Pacquiao mengakui belum terbayang mengenainya.

"Saya tidak tahu lagi, saya hanya tumpu satu perlawanan demi satu perlawanan. Saya tidak boleh mengesahkan sekarang,

"Hari ini , perlawanan menentang Jessie Vargas adalah amat penting sepanjang karier saya," katanya.

Dalam pada itu, promoter Pacquiao, Bob Arum yakin petinju Filipina itu akan kekal aktif jika dia menumbangkan Vargas.

"Jika Manny kekal semangat seperti dulu dan mahu kekal bertarung, sudah pasti ada pencabar sesuai menunggunya selepas tarikh berkenaan," katanya. - Agensi

Berita Harian X