KUANTAN: India menyertai Malaysia sebagai pasukan kedua melangkah ke pentas separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia 2016 QNET selepas berkenduri gol, membelasah China 9-0 di Stadium Hoki Wisma Belia, sebentar tadi.
Ia seperti memberi gambaran awal kepada skuad bimbingan Stephen Van Huizen, betapa mereka akan mengharungi hari yang sibuk esok, dengan India seakan menemui semula sentuhan tepat pada masanya.
Pakistan turut mencatat kemenangan tipis 4-3 ke atas Jepun dalam satu lagi aksi. Pasukan itu kini perlu meraih sekurang-kurangnya satu mata pada aksi bertemu China, Jumaat ini untuk mara.
Terdahulu, India bermula baik apabila berada di depan seawal minit kesembilan hasil ledakan Akashdeep Singh.
Belum sempat China meredakan tekanan, India menambah tiga lagi gol masing masing menerusi Yousof Affan pada minit ke-19, Jasjit Singh (m-22) dan Rupinder Pal Singh (m-24).
Empat minit bersambung suku ketiga, Chandanda Thimmaiah terus menceriakan kem pasukan ranking keenam dunia itu dengan jaringan kelima.
China terus longlai apabila melepaskan tiga gol dalam tempoh tiga minit untuk menyaksikan mereka ketinggalan 8-0 menerusi sentuhan Lalit Upadhyay pada minit ke-37, diikuti gol peribadi kedua Akashdeep (m-39) dan Yousof (m-40).
Jasjit sekali lagi mencetak gol apabila memukul padu bola ke penjuru kanan gawang China pada minit ke-51 untuk melengkapkan malam gemilang buat India.