Sabtu, 22 Oktober 2016 | 10:45pm

Lissek bangga Korea Selatan ikat India

PEMAIN India, Ramandeep Singh (tengah) diasak pemain Korea Selatan, Daeyeol Lee pada saingan QNET Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Stadium Wisma Belia, sebentar tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir
PEMAIN India, Ramandeep Singh (tengah) diasak pemain Korea Selatan, Daeyeol Lee pada saingan QNET Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Stadium Wisma Belia, sebentar tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Pasukan ranking keenam dunia, India mencatat keputusan mengejut apabila sekadar terikat 1-1 dengan Korea Selatan pada saingan QNET Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Stadium Wisma Belia, sebentar tadi.

Konsultan hoki Korea Selatan, Paul Lissek yang pernah menjadi jurulatih Malaysia, menyifatkan keputusan seri itu ibarat 'memenangi pingat emas'.

"Hari ini saya berasa seperti memenangi pingat emas. Untuk kami negara hoki yang kecil seperti Korea Selatan ia satu keputusan yang amat luar biasa untuk mengikat pasukan gergasi Asia, India," kata Lissek.

India dalam aksi pertamanya kelmarin membelasah Jepun 10-2, sekali gus membuktikan status mereka sebagai calon pilihan untuk merampas gelaran yang disandang Pakistan dua edisi berturut-turut pada 2012 dan 2013.

Malah, ramalan awal betapa Korea Selatan bakal menjadi 'makanan' seterusnya skuad Roelant Oltmans nyata salah, tatkala India pula yang bergelut untuk mengatasi pasukan yang berada lima ranking di bawah mereka itu.

Ia jelas terbukti apabila seawal minit ke-11 Korea yang sangat dahagakan kemenangan selepas tewas 1-0 kepada Pakistan, semalam berada di depan menerusi jaringan padang Jeong Junwoo.

Terdesak dengan jaringan itu, India mula melancarkan serangan bertali arus terhadap kubu skuad Kimchi yang 'berkampung' di kawasan sendiri tetapi dinafikan kecekapan penjaga gol Hong Doopyo.

Lalit Upadhay muncul penyelamat pasukan India, apabila berjaya meledak gol penyamaan padang pada minit ke-33 untuk memastikan anak-anak buah Oltmans tidak pulang dengan wajah merah padam.

India seterusnya akan membuat perhitungan kali ke-167 dengan Pakistan esok dan bagi jurulatihnya Oltmans, dia dan barisan pemainnya akan mengambil pertemuan itu sama seperti perlawanan lain.

Dalam satu lagi aksi musuh tetangga di padang sama selepas itu, China menewaskan Jepun 2-1 hasil jaringan padang Yu Xin pada minit ke-10 dan pukulan sudut penalti, Huang Jingchen minit ke-31.

Gol sagu hati skuad negara Matahari Terbit itu disumbangkan Hirotaka Zendana pada minit ke-43 menerusi pukulan sudut penalti.

Dengan dua keputusan itu menyaksikan Malaysia terus kekal menerajui saingan dengan enam mata diikuti India (4 mata), dengan Pakistan dan China berkongsi tempat ketiga (3 mata) sementara Korea selatan kelima (1 mata) dan Jepun terbawah tanpa sebarang mata.

Esok menyaksikan Malaysia menentang Jepun pada jam 8.30 malam dengan tumpuan juga pasti terarah kepada pertembungan dua musuh tradisi iaitu India dan Pakistan yang dijadualkan berlangsung pada jam 6.30 petang.

Berita Harian X