Sabtu, 22 Oktober 2016 | 8:45pm

Moto2: Hafizh Syahrin terbabas sesi kelayakan

PELUMBA pasukan PETRONAS Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah ketika sesi latihan Moto2, semalam. - Foto EPA
PELUMBA pasukan PETRONAS Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah ketika sesi latihan Moto2, semalam. - Foto EPA

KUALA LUMPUR: Sesi kelayakan Grand Prix (GP) Australia tidak berlangsung seperti mana yang diharapkan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Pelumba pasukan PETRONAS Raceline itu terbabas ketika sedang berusaha memperbaiki posisinya dalam sesi kelayakan dan dia hanya mampu berpuashati dengan berada di kedudukan ke-20 terbaik.

Dalam sesi kelayakan itu, Hafizh mencatat 1 minit 35.194 saat dan dia bakal memulakan perlumbaan hari ini dari petak ke-20.

"Saya berusaha keras selepas memasuki pit untuk melakukan beberapa pertukaran," kata Hafizh, sebentar tadi.

"Motosikal berasa sedikit lembut di bahagian belakang dan berlaku terlalu banyak pergerakan.

"Saya cuba mengalih berat badan ke bahagian belakang untuk mendapatkan cengkaman dan pada masa itulah saya hilang sesuatu di bahagian depan (ketika terbabas).

"Kami akan cuba melakukan perubahan sepatutnya bagi menangani isu itu. Selain daripada itu, kami bersedia untuk perlumbaan esok (hari ini)."

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara yang menerima tiket wild card dalam kelas pertengahan itu, Ramdan Rosli mencatat masa sepusingan, 1'38.803s.

Catatannya itu membolehkan pelumba dari pasukan PETRONAS AHM Malaysia itu untuk memulakan perlumbaan hari ini dari petak ke-27.

Berita Harian X