KUANTAN: Ketua pasukan Rupinder Pal Singh meledak hatrik berganda bagi membantu India membenam Jepun 10-2, sekali gus melaungkan amaran awal kepada pasukan lawan pada Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2016 di sini, malam tadi.
Rupinder Pal menepati statusnya sebagai pakar pukulan sudut penalti apabila meledakkan pukulan penyudah pada minit kesembilan, 12, 17, 22, 46 dan minit ke-47.
Sebelum itu, India mula membuka jaringan seawal minit kedua menerusi hasil jaringan padang Ramandeep Singh serta menambah jaringan perbadi keduanya pada minit ke-15.
Bagaikan hilang arah, Jepun gagal menandingi ketangkasan pemain India yang melancarkan gerakan dari pelbagai arah serta mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.
Gol India lain dihasilkan oleh Talwinder Singh pada minit ke-19 dan Yousuf Affan pada minit ke-50.
Jepun, bagaimanapun, boleh mendabik dada apabila berjaya merobek gawang lawan dengan dua jaringan padang menerusi Kenta Tanaka pada minit ke-23 dan Hiromasa Ochiai pada minit ke-38.
Jadual Hari Ini:
Pakistan lwn Korea Selatan - 6.30 petang
MALAYSIA lwn China - 8.30 malam
*perlawanan di Stadium Hoki Kuantan
- BERNAMA