Khamis, 20 Oktober 2016 | 11:13pm

Malaysia berjaya atasi cabaran Pakistan

PEMAIN Malaysia, Aiman Nik Rosemi (tengah) diasak pemain Pakistan dalam aksi pembukaan QNET Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Wisma Belia, sebentar tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir
PEMAIN Malaysia, Aiman Nik Rosemi (tengah) diasak pemain Pakistan dalam aksi pembukaan QNET Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Wisma Belia, sebentar tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Skuad negara terpaksa mengharungi 19 minit terakhir penuh mendebarkan sebelum menewaskan Pakistan 4-2 pada aksi pembukaan QNET Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Wisma Belia, sebentar tadi.

Biarpun boleh dianggap kemenangan selesa, namun Malaysia menempuh saat akhir yang mendebarkan sebelum penyerang sensasi Faizal Saari melegakan kem negara dengan gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan.

Terdahulu, sepuluh minit pertama aksi berlangsung dengan perlahan sebelum skuad negara berada di depan hasil jaringan Firhan Ashaari pada minit ke-12. Ia berpunca daripada tindakan pantas penyerang itu menghidu bola muntah percubaan pukulan sudut penalti Razie Rahim untuk menolak menewaskan penjaga gol Pakistan, Imran Butt.

Muhammad Aleem Bilal bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-18. Minit ke-34 menyaksikan gawang negara yang dikawal S Kumar sekali lagi bolos kepada Aleem Bilal menerusi penyudah sama untuk ketinggalan 2-1.

Faizal melegakan kem negara apabila kembali mengikat perlawanan menerusi pukulan strok pada minit ke-37 sebelum Shahril Saabah menjaringkan gol ketiga dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti selang empat minit kemudian.

Sejurus mendahului, Malaysia terus menukar corak permainan kepada lebih bertahan termasuk menghadiahkan empat pukulan sudut penalti kepada Pakistan tetapi dinafikan kecekapan Kumar sebelum Faizal memastikan tiga mata penuh menjadi milik anak didik Stephen Van Huizen.

Berita Harian X