Sabtu, 15 Oktober 2016 | 4:16pm
Pelumba Drive M7 SIC, Adam Norrodin. - Foto Youtube
Pelumba Drive M7 SIC, Adam Norrodin. - Foto Youtube

Moto3: Adam raih petak ke-9

KUALA LUMPUR: Pelumba Drive M7 SIC, Adam Norrodin menemui grid perlumbaan kedua terbaiknya musim ini apabila meraih kedudukan kesembilan terpantas dalam sesi kelayakan Moto3 Grand Prix (GP) Jepun, hari ini.

Adam merakam 1 minit 56.873 saat di sirkit Twin Ring Motegi, ketinggalan 0.430s daripada petak utama yang disambar pelumba tuan rumah dari pasukan Honda Team Asia, Hiroki Ono.

Rakan pasukan Ono dan juga juara dua kali musim ini, Khairul Idham Pawi bakal memulakan perlumbaan esok dari petak ke-22 selepas merakam catatan masa, 1'57.395s.

Grid perlumbaan terbaik yang diraih Adam adalah di GP Amerika Syarikat, April lalu, namun pelumba berusia 18 tahun itu gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh seawal pusingan pertama.

Sementara itu, wakil tunggal negara dalam kelas Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-12.

Pelumba PETRONAS Raceline itu mencatat 1'50.898s pada sesi kelayakan sebentar tadi di litar yang pernah menyaksikan dirinya meraih penamat di kedudukan kelima, tahun lalu.

Berita Harian X