Khamis, 13 Oktober 2016 | 4:34pm

KHM terima tajaan RM900,000

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal (kanan) bersalaman bersama Ketua Pegawai Pemasaran QNET Trevor Kuna (tengah) sewaktu penyampaian plak replika penajaan Asian Champions Trophy 2016 dalam satu majlis hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MHC Logan Raj (kiri). - Foto BERNAMA
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal (kanan) bersalaman bersama Ketua Pegawai Pemasaran QNET Trevor Kuna (tengah) sewaktu penyampaian plak replika penajaan Asian Champions Trophy 2016 dalam satu majlis hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MHC Logan Raj (kiri). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memperoleh tajaan RM900,000 bagi menganjurkan Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia yang akan berlangsung dari 20 hingga 30 Oktober ini di Kuantan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata QNET adalah penaja utama bagi kejohanan edisi keempat itu dengan jumlah tajaan sebanyak RM500,000.

Katanya, jumlah penajaan lain iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM300,000 sementara Genting Malaysia dan Waz Lian Group of Companies masing-masing menaja sebanyak RM50,000.

"Sasaran saya adalah pasukan negara sekurang-kurangnya muncul empat pasukan terbaik iaitu separuh akhir di Kuantan nanti. Tetapi kita tetap mahu pasukan berusaha untuk 'podium finish' walaupun kita tahu ia memang sukar," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan penaja-penaja bagi Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia 2016 di Hotel Palace of The Golden Horses di sini, hari ini.

Sementara itu, Subahan yakin pasukan hoki negara mampu melonjak tangga kelapan dunia berdasarkan penilaian prestasi mereka di Liga Hoki Australia baru-baru ini.

Skuad kendalian jurulatih, Stepen Van Huizen itu meraih tempat keenam daripada 12 pasukan.

"Skuad negara kini berada di kedudukan ke-14 dunia, saya percaya kedudukan skuad kebangsaan mampu melonjak kedudukan kelapan dunia walaupun indeks prestasi utama saya adalah membawa pasukan dalam kelompok 10 terbaik," katanya.

Menurut Subahan, KHM sudah meletakkan dua sasaran utama untuk skuad kebangsaan dalam tempoh dua tahun akan datang iaitu melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki pada 2018 di Bhubaneswar, India serta Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

"Kejohanan Trofi Juara-juara Asia ini penting juga untuk skuad kebangsaan kerana ia menawarkan mata ranking oleh FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa)," katanya.

Trofi Juara-juara Asia kali ini menampilkan enam pasukan terbaik dari Sukan Asia iaitu Pakistan, India, China, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia, selaku tuan rumah buat kali pertama.

Subahan turut mengumumkan jenama sukan terkemuka dari Itali, Kappa Malaysia akan menaja jersi pasukan kebangsaan lelaki dan wanita berjumlah RM700,000 bagi tempoh dua tahun.

"KHM masih dalam proses rebranding bagi pelan empat tahun. Kita mahu melihat, kanak-kanak serta remaja memakai jersi hoki negara seperti pasukan bola sepak jadi kemenangan pasukan kebangsaan amat penting.

"Kita mahu rakyat Malaysia menonton dan menyaksikan perlawanan hoki dan hampir 350,000 peminat hoki menonton perlawanan final Liga Hoki Malaysia baru-baru ini secara langsung menerusi televisyen," katanya.

Skuad negara akan memulakan kempen kejohanan itu menentang Pakistan pada 20 Oktober nanti. - BERNAMA

Berita Harian X