Rabu, 12 Oktober 2016 | 6:23pm
PERLAWANAN separuh akhir kedua Piala Malaysia antara T-Team dan Selangor di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
PERLAWANAN separuh akhir kedua Piala Malaysia antara T-Team dan Selangor di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Lebih 500 polis kawal aksi T-Team dan Selangor

KUALA TERENGGANU: Polis akan memperketatkan pemeriksaan dan kawalan keselamatan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara T-Team dan Selangor di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, di sini, Sabtu ini.

Lebih 500 anggota dan pegawai keselamatan termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditugaskan bagi mengawal aliran trafik dan keselamatan di dalam dan luar stadium sepanjang perlawanan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar berkata langkah tersebut diambil bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini melibatkan penyokong kedua-dua pasukan.

"Kita akan menempatkan pegawai dan anggota di beberapa lokasi strategik baik di dalam dan luar stadium selain pemeriksaan rapi di setiap pintu masuk stadium," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Atas faktor keselamatan, jumlah penonton di stadium, yang berkapasiti 25,000 orang, akan dihadkan kepada 10,000 orang, katanya.

Idris turut meminta penyokong supaya tidak membawa masuk barang larangan ke dalam stadium antaranya senjata, mercun dan bom asap, sambil memberi amaran bahawa pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Kita mengingatkan penyokong tidak melakukan provokasi sehingga menimbulkan kekecohan sebelum dan selepas perlawanan," katanya.

Katanya bagi membolehkan mereka yang gagal mendapatkan tiket menyaksikan perlawanan tersebut, skrin besar juga akan disediakan di kawasan berhampiran stadium.

Beliau turut menasihatkan penyokong kedua-dua pasukan agar datang ke stadium seawal pukul 6 petang bagi mengelak kesesakan jalan raya di bandar raya dan meletakkan kenderaan mereka di tempat yang dibenarkan.

Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, dua minggu lepas, Selangor mengalahkan T-Team 2-1. - BERNAMA

Berita Harian X