Sabtu, 8 Oktober 2016 | 9:05pm
PENGARAH Eksekutif SPANCO, Peter Lim menyampaikan hadiah kemenangan kepada pasukan Diva FC.
PENGARAH Eksekutif SPANCO, Peter Lim menyampaikan hadiah kemenangan kepada pasukan Diva FC.

Dani FC juara Futsal SPANCO 2016

PENGARAH Eksekutif SPANCO, Peter Lim menyampaikan hadiah kemenangan kepada pasukan Dani FC.
PENGARAH Eksekutif SPANCO, Peter Lim menyampaikan hadiah kemenangan kepada pasukan Dani FC.

BANGI: Kejohanan Futsal SPANCO 2016 yang disertai 70 pasukan daripada jabatan kerajaan dan kelab di sini hari ini, menyaksikan pasukan pilihan, Dani FC, muncul juara.

Dani FC yang menewaskan pasukan JPN (ZulFF) 1-0 meraih piala pusingan serta wang tunai RM1,000. JPN pula membawa pulang RM800 pada kejohanan tahunan yang diadakan bersempena Hari Sukan Negara 2016.

Tempat ketiga dan keempat dengan hadiah wang tunai RM600 dan RM400, masing-masing diraih Gago FC dan MBK-FT.

Bagi kategori wanita pula, Diva FC menumpaskan Irdina FC dengan satu jaringan tidak berbalas bagi menaiki takhta juara manakala Lady Bugs dan Outcast menempah tempat ketiga dan keempat.

Semua pasukan membawa pulang hadiah yang sama nilai dengan pasukan lelaki.

Kejohanan kedua anjuran SPANCO, syarikat perkhidmatan kenderaan kerajaan, menyaksikan pertarungan 64 pasukan lelaki dan enam pasukan wanita yang majoritinya mewakili jabatan dan agensi kerajaan.

Ketua Pegawai Operasi SPANCO, Datuk Azman Idris, berkata kejohanan kali ini dianjurkan sebagai tanda sokongan pihaknya kepada Kementerian Belia dan Sukan ke arah mendidik warga Malaysia sebagai bangsa yang aktif bersukan.

"Kami sebagai sebuah badan korporat yang prihatin, sentiasa komited dalam menyokong dan menyumbang bagi menjayakan agenda nasional bersempena sambutan Hari Sukan Negara 2016," katanya.

SARAVANAN menyempurnakan sepak mula Kejohanan Futsal SPANCO 2016
SARAVANAN menyempurnakan sepak mula Kejohanan Futsal SPANCO 2016

Acara itu dirasmi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan yang melakukan sepak mula di gelanggang utama di Uptown Sports Futsal Bandar Baru Bangi di sini, pagi tadi.

Sementara itu, Saravanan berkata kementerian mengalu-alukan usaha dan pembabitan pihak swasta yang menyokong visi kementerian ke arah membentuk Malaysia sebagai Bangsa Bersukan.

"Kami berharap lebih ramai lagi pihak swasta yang akan mengikut jejak SPANCO pada sambutan Hari Sukan Negara akan datang," katanya.

Beliau berkata, Hari Sukan Negara dianjurkan bagi menggalakkan rakyat Malaysia menjadi lebih aktif di dalam sukan kerana sehingga kini, hanya kira-kira 40 peratus rakyat Malaysian yang mengamalkan gaya hidup aktif berbanding 60 peratus penduduk dalam kalangan negara-negara membangun.

"Kami ingin melihat rakyat Malaysian juga mengamalkan gaya hidup sihat ini melalui aktiviti bersukan seterusnya dapat menyumbang mengurangkan peratusan kes sakit kronik dalam kalangan rakyat," katanya.

Berita Harian X