Jumaat, 7 Oktober 2016 | 3:31pm

HSN: Gerakkan usaha budayakan sukan dalam kehidupan

KUALA LUMPUR: Bermula tahun lalu, setiap Sabtu kedua bulan Oktober telah dijadikan sebagai Hari Sukan Negara dengan matlamat untuk mewujudkan budaya sukan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Untuk tahun ini, ia akan disambut pada 8 Oktober dengan sambutan utama akan diadakan di Dataran Putrajaya.

Kebelakangan ini, kita dapat melihat ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang membabitkan diri dengan aktiviti beriadah dan menjadikan bersukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup masa kini.

Namun rakyat Malaysia secara amnya masih belum mengamalkan budaya sukan secara menyeluruh.

Menurut kajian Kementerian Belia dan Sukan, hanya 40 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini yang mengamalkan gaya hidup sihat dan membudayakan sukan dalam kehidupan mereka.

Peratusan itu masih lagi rendah jika dibandingkan dengan 50 hingga 60 peratus pembabitan rakyat di negara maju dalam aktiviti itu.

Tujuan Kementerian Belia dan Sukan menyediakan pelbagai program seperti Hari Sukan Negara, FitMalaysia, Junior Cycling Malaysia (JCM) dan pelbagai lagi program adalah untuk mencetuskan gelombang penyertaan rakyat dalam sukan dan kecergasan.

"Ia adalah untuk meningkatkan kesedaran dan mengubah gaya hidup dan menjadikan Malaysia negara bersukan," kata menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Adalah menjadi harapan saya, bila kita ada rakyat yang cergas, yang membudayakan sukan, ia membolehkan kita melahirkan lebih ramai lagi atlet-atlet yang boleh mengharumkan nama negara kita," katanya.

Kejayaan atlet negara membawa pulang lima pingat pada temasya Sukan Olimpik serta empat pingat pada temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini mungkin dapat membantu generasi muda khususnya menghidupkan 'mood' aktif dalam bidang sukan.

Sambutan penuh meriah kepulangan wira dan wirawati Sukan Olimpik dan Paralimpik baru-baru ini telah memberi impak positif bahawa melalui sukan ia boleh juga menjadi medium perpaduan.

Rakyat pelbagai bangsa, agama dan peringkat umur menyatakan sokongan masing-masing kepada semua atlet melalui laman sosial dan juga hadir sendiri menyambut kepulangan mereka.

Pelantikan pemenang pingat emas pertama Sukan Paralimpik, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi sebagai 'Ikon Sukan Felda' umpamanya, diharap dapat memberi ransangan kepada generasi muda Felda khususnya untuk bergiat aktif dalam bidang sukan.

Sementara itu, membudayakan sukan dalam kehidupan seharian secara tidak langsung juga boleh membentuk gaya hidup sihat masyarakat selain boleh menghindarkan masalah obesiti dan penyakit tidak berjangkit.

Dalam kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia adalah negara di rantau Asia Tenggara yang mempunyai paling banyak kes obesiti dan diabetes dalam kalangan penduduknya.

Ia satu situasi yang amat membimbangkan, lebih-lebih lagi dengan tabiat masyarakat yang hanya akan mula bersenam apabila terdesak disebabkan masalah kesihatan yang timbul atau menerima amaran doktor.

Sindrom malas bersukan perlu dielakkan, sebaliknya ibu bapa perlu memupuk minat untuk sukan kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi.

Sekretariat Hari Sukan Negara 2016 (HSN2016) menyasarkan seramai 7 juta orang atau 20 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia akan menyertai program-program yang telah diatur di seluruh negara berbanding 4.2 juta orang yang turun padang menyertai program yang sama tahun lepas.

Menurut Sekretariat HSN2016, sejumlah 22,500 aktiviti akan diadakan di seluruh negara, termasuk di semua kawasan kampung dan daerah.

Ia juga turut melibatkan semua kerajaan negeri serta kementerian-kementerian akan mengadakan aktiviti masing-masing termasuk Kementerian Luar yang akan mengadakan aktiviti sukan di semua 104 kedutaan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di luar negara.

Seperti tahun lepas, aktiviti sambutan HSN2016 juga melibatkan sektor korporat, syarikat swasta dan organisasi bukan kerajaan (NGO). -- BERNAMA

Berita Harian X