Jumaat, 7 Oktober 2016 | 12:27am

20,000 peserta bakal meriahkan HSN Sabah

KOTA KINABALU: Kira-kira 20,000 orang dijangka hadir bagi memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Sabah 2016 di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Sabtu ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, berkata sambutan itu yang bermula pukul 7.30 pagi, akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sukan dan riadah seperti senamrobik, larian dan berbasikal.

"Bersempena sambutan itu juga, semua kemudahan sukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah boleh digunakan secara percuma pada hari tersebut iaitu bermula pukul 6 pagi sehingga 12 malam," katanya dalam kenyataan.

Tawfiq yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan HSN Peringkat Sabah 2016 mengalu-alukan semua masyarakat khususnya di sekitar Kota Kinabalu hadir dan menyertai pelbagai acara yang akan diadakan.

"Seluruh masyarakat di negeri ini, tanpa mengira usia dan bangsa dijemput menjayakan sambutan berkenaan bagi menyahut cabaran menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan dengan gaya hidup cergas dan aktif'," katanya.

Beliau berkata sambutan berkenaan akan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. - BERNAMA

Berita Harian X