Ahad, 2 Oktober 2016 | 11:02am

Cavani bantu kemenangan PSG, Monaco belasah Metz

PEMAIN Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani diasak pemain Bordeaux, Nicolas Pallois pada saingan Ligue 1 di Stadium Parc des Princes, Paris, awal pagi tadi. - Foto EPA
PEMAIN Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani diasak pemain Bordeaux, Nicolas Pallois pada saingan Ligue 1 di Stadium Parc des Princes, Paris, awal pagi tadi. - Foto EPA

PARIS: Sentuhan penyudah Edinson Cavani berada pada tahap terbaik apabila jaringan bergandanya membantu Paris Saint-Germain (PSG) mengatasi Bordeaux 2-0 sementara Monaco membelasah Metz 7-0 untuk kembali ke persada Ligue 1, awal pagi tadi.

Cavani yang dikritik hebat, menyumbat kedua-dua gol di separuh masa pertama di Parc des Princes tatkala PSG membawa rentak kemenangan Liga Juara-Juara ke atas Ludogorets di Bulgaria ke saingan domestik.

Skuad kendalian Unai Emery itu hadir ke perlawanan minggu ini di kedudukan keempat Ligue 1 selepas tumpas di Toulouse sebelum ini, kekalahan kedua daripada tujuh perlawanan musim ini.

"Ia mungkin antara perlawanan terbaik kami musim ini, di babak kedua kami berpeluang menambah gol ketiga untuk menyenangkan kerja kami dan meningkatkan keyakinan pasukan," kata Emery yang menyambut kepulangan Ultras selepas digantung enam tahun.

"Suasana perlawanan sangat bagus. Ia lebih positif buat pasukan dan ia menunjukkan kami berasa sangat istimewa beraksi di Parc des Princes."

Cavani kini memikul tanggungjawab lebih besar sejak pemergian Zlatan Ibrahimovic, tetapi dia dikecam teruk gara-gara prestasi hambarnya ketika terikat dalam aksi Liga Juara-Juara dengan Arsenal, bulan lalu walaupun dia menghasilkan gol pembukaan pada malam terbabit.

Dan jaringan bergandanya dalam aksi di sebelah petang di kota Paris itu menyaksikan dia kini sudah mencetak sembilan gol daripada lima perlawanan.

Monaco yang menyambar satu mata penting ketika berdepan Bayer Leverkusen dalam aksi Eropah pertengahan minggu lalu, mengatasi Metz yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Jaringan babak pertama Thomas Lemar, Valere Germain dan Bernardo Silva meletakkan skuad Leonardo Jardim menguasai sepenuhnya babak pertama.

Kekasaran Cheick Doukoure yang menyebabkan dia diarahkan keluar padang selepas sejam perlawanan menambah kesukaran Metz dan Monaco mengambil kesempatan itu menerusi penalti Fabinho sebelum Guido Carrillo meledak dua jaringan peribadi.

Gabriel Boschilia melengkapkan kemenangan itu untuk Monaco, dua mata mengatasi pendahulu Nice yang hanya akan turun beraksi menentang Lorient, malam ini. - AFP

Berita Harian X