Isnin, 26 September 2016 | 6:01am

Lebih 5,000 sertai Orchid Fun Run & Ride PETRONITA

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Seri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (kanan) mengagihkan bunga orchid sebagai tema larian sempena majlis 'Petronita's Orchid Run & Ride 2016' di KLCC. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Seri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (kanan) mengagihkan bunga orchid sebagai tema larian sempena majlis 'Petronita's Orchid Run & Ride 2016' di KLCC. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 peserta menyertai acara larian dan berbasikal Orchid Fun Run & Ride 2016 anjuran Persatuan Isteri-Isteri dan Kakitangan Wanita PETRONAS (PETRONITA) dan PETRONAS bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik semalam.

Acara sejauh 5 kilometer (km) berbasikal itu turut disertai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Presiden PETRONITA, Datin Azura Ahmad Tajuddin, selain  kakitangan syarikat petroleum itu dan orang awam.

 

Azura berkata, acara terbesar yang diadakan di Plaza Persiaran KLCC itu membawa mesej 'Berlari bersama dengan jarak yang sama' bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik, selain mempromosikan gaya hidup sihat.

"Hasil sumbangan daripada acara ini akan disalurkan kepada empat badan amal iaitu  

Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Unit Pediatrik Penyakit Jantung Kongenital (PCHC) Institut Jantung Negara (IJN), Bank Kanta Intraokular Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (BKIKKKM) dan Institut Telinga, Pendengaran dan Pertuturan (Institute-HEARS).

"Acara dimeriahkan lagi dengan hiburan daripada artis tempatan seperti Noh Salleh, KL Stompers dan Insomniacks selain penampilan khas selebriti Sazzy Falak, Vanida Imran, Rashidi Ishak, Daphne Iking dan Sharifah Sakinah yang turut memberi sokongan," katanya ketika ditemui selepas acara Orchid Fun Run & Ride, di sini, semalam.

Azura berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, malah berjaya mengumpul RM240,000 bagi membantu empat badan amal berkenaan.

"Kita harap program ini akan diteruskan sebagai acara tahunan dan percaya ia mampu pergi jauh kerana kita mahu semua orang mengambil peranan bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik selain mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan," katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga NASOM, Dr Azlina Masdar berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan bagi membantu pusat intervensi NASOM.

"Kita mempunyai 20 pusat di seluruh negara tapi sumbangan yang diberikan melalui acara pada hari ini (semalam) akan disalurkan kepada Pusat Vokasional NASOM Jalan Ipoh," katanya.

INFO

* Acara mempunyai dua kategori A dan B

*Kategori A (Larian 12 km: terbuka lelaki dan wanita berumur 16 tahun ke atas)

*Kategori B (Larian 5km: terbuka untuk 7 tahun ke atas) (Berbasikal 5 km: terbuka untuk 12 tahun ke atas)

Berita Harian X