Khamis, 15 September 2016 | 10:05pm

Nur Amisha terima insentif khas RM10,000

SHAHRUL (tengah) menyampaikan insentif kepada Nur Amisha (kiri) pada Majlis Penyerahan Skim Insentif Kemenangan di Sukan Malaysia Sarawak 2016 di Ipoh, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya
SHAHRUL (tengah) menyampaikan insentif kepada Nur Amisha (kiri) pada Majlis Penyerahan Skim Insentif Kemenangan di Sukan Malaysia Sarawak 2016 di Ipoh, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Juara muay thai remaja dunia, Nur Amisha Azril Rizal menerima insentif khas RM10,000 daripada kerajaan negeri Perak, petang tadi. 

Nur Amisha, 14, dari SMK Gunung Rapat di sini memenangi kejuaraan itu di Bangkok, Thailand baru-baru ini. 

Turut menerima ganjaran peninju cilik, Iskandar Zulqarnain Mohd Ezri A'zamin yang memenangi pingat emas dalam Kejohanan dan Festival Seni Mempertahankan Diri di Thailand baru-baru ini. Dia menerima insentif khas RM3,000. 

Kedua-duanya menerima insentif itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya pada majlis penyampaian insentif kepada atlet yang menyumbang pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di Sarawak. 

Di bawah skim itu, kerajaan negeri Perak membayar insentif berjumlah RM407,050 berikutan kejayaan kontinjen negeri memenangi 12 pingat emas, 26 perak dan 34 gangsa untuk menduduki tangga ke-12 pada temasya berkenaan. 

Atlet yang meraih emas acara individu diberikan insentif RM5,000, RM3,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa).

Insentif bagi  kategori berpasukan ialah RM2,500 bagi pingat emas, RM1,500 (perak) dan RM750 (gangsa). 

Insentif tambahan sebanyak RM1,000 diberikan kepada atlet individu yang berjaya memecahkan rekod kejohanan manakala RM500 bagi kategori berpasukan. 

Selain atlet, kerajaan negeri turut menyampaikan insentif kepada pengurus dan jurulatih.

Berita Harian X