Jumaat, 9 September 2016 | 9:58pm

Skuad negara melangkah ke separuh akhir

PEMAIN negara Muhammad Addeen Idrakie (kanan) beraksi menentang pemain Switzerland, Godola Robin pada pusingan suku akhir acara berpasukan Kejohanan Skuasy Universiti Dunia 2016 (WUSC) di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini. Addeen menang 11-8, 5-11 dan 11-7. - Foto BERNAMA
PEMAIN negara Muhammad Addeen Idrakie (kanan) beraksi menentang pemain Switzerland, Godola Robin pada pusingan suku akhir acara berpasukan Kejohanan Skuasy Universiti Dunia 2016 (WUSC) di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini. Addeen menang 11-8, 5-11 dan 11-7. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Skuad negara melangkah ke separuh akhir acara berpasukan campuran di Kejohanan Skuasy Universiti Dunia selepas menewaskan Switzerland 2-0 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Muhammad Addeen Idrakie yang turun sebagai pemain pertama, melunaskan tanggungjawabnya dengan mudah selepas menang ke atas Rubin Gadola 3-1.

Namun, Addeen yang memenangi set pertama 11-8, tewas di set kedua apabila pemain Switzerland itu bangkit dengan kemenangan 11-5.

Menyedari kebangkitan Gadola, Addeen terus memperkemaskan permainan di set ketiga dan keempat untuk memenangi perlawanan itu dengan 11-3 dan 11-7.

Low Wee Wern yang baru mengecapi kejuaraan dalam kategori perseorangan wanita semalam, turun sebagai pemain kedua menentang Nadine Frey.

Pemain berasal dari Pulau Pinang itu hanya memerlukan 18 minit untuk mengesahkan tempat skuad negara ke separuh akhir selepas menewaskan Nadine 11-4, 11-5 dan 11-3.

"Pemain perseorangan lelaki bermain cukup baik dan ia memudahkan saya dan pasukan negara untuk melangkah ke separuh akhir.

"Perlawanan menentang Afrika Selatan esok penting buat skuad negara. Saya yakin dengan barisan pemain serta bermain di tempat sendiri memberi kelebihan kepada kami," kata Wee Wern kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Skuad negara akan bertemu Afrika Selatan, yang mara ke separuh akhir selepas mengejutkan Great Britain, yang juga pilihan ketiga kejohanan, 2-1.

Kali terakhir skuad berpasukan campuran negara meraih pingat ialah pada 2008 dan 2014, dengan masing-masing memenangi gangsa.

- BERNAMA

Berita Harian X