Isnin, 29 Ogos 2016 | 8:46am

PSG tewas kepada Monaco

PEMAIN Monaco meraikan kemenangan mereka selepas menewaskan Paris Saint-Germain pada aksi Liga Perancis di Stade Loius II, semalam. - Foto AFP
PEMAIN Monaco meraikan kemenangan mereka selepas menewaskan Paris Saint-Germain pada aksi Liga Perancis di Stade Loius II, semalam. - Foto AFP

PARIS: Penyandang juara, Paris Saint-Germain tewas buat kali pertama di bawah kendalian jurulatih baharu, Unai Emery apabila tunduk 3-1 di tangan Monaco pada aksi di Stade Loius II, semalam.

Joao Moutinho meletakkan Monaco di hadapan sebelum penalti Fabinho menggandakan kelebihan buat pelawat terus selesa 2-0 pada separuh masa pertama.

Edinson Cavani mengurangkan defisit pada babak kedua namun jaringan sendiri Serge Aurier menyaksikan pelawat meraih kemenangan membolehkan mereka mengutip tujuh mata bersama pendahulu liga, Guingamp.

PSG kini berada di tangga kelima liga dengan permulaan baik mereka terjejas menerusi kekalahan terbabit.

Kekalahan itu menimbulkan persoalan besar kepada kelab itu susulan pemecatan Laurent Blanc dan kehilangan tonggak utama, Zlatan Ibrahimovic.

Emery yang membawa Sevilla merangkul Liga Europa dilantik menggantikan Blanc namun mereka tidak dapat mencari pemain yang berkaliber untuk menggantikan Ibrahimovic.

PSG tidak tewas dalam 27 perlawanan awal liga mereka musim lalu sehinggalah pada penghujung Februari, manakala dalam dua musim sebelumnya, rekod tanpa kalah mereka dalam Ligue 1 berjaya kekal hingga Disember.

Mereka juga gagal merakam kemenangan meyakinkan pada dua aksi pertama musim ini ketika menewaskan Bastia dan Metz.

Berdepan Monaco yang masih segar menewaskan Villareal untuk layak ke peringkat kumpulan Liga Juara Juara, mereka ketinggalan seawal minit ke-13 dan kelihatan tidak mampu untuk bangkit.

Moutinho menyudahkan hantaran lintang Djibril Sidibe sebelum Monaco dihadiahkan sepakan penalti apabila David Luiz melakukan kekasaran dalam kotak penalti dan Fabinho tidak berdepan masalah untuk menewaskan Kevin Trapp bagi gol keempatnya menerusi sepakan penalti musim ini.

Namun PSG merapatkan kedudukan pada babak kedua apabila hantaran Aurier disambut Cavani namun gol penyamaan yang dicari gagal diperolehi, sebaliknya Monaco mengesahkan kemenangan dengan baki 10 minit perlawanan selepas Aurier menampan masuk hantaran Sidibe ke dalam gawang sendiri. - AFP

Berita Harian X