Sabtu, 27 Ogos 2016 | 12:32pm

YAKEB turun padang ke Parlimen Larut

KUALA LUMPUR: Seramai 20 bekas pemain bola sepak kebangsaan menyertai Program Pemukiman Menteri Besar di Parlimen Larut, Perak yang dianjurkan oleh Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar, baru-baru ini.

Program itu turut menyaksikan perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan pasukan bekas pemain kebangsaan, sekali gus menjadi simbolik kepada perasmian ‎padang sintetik pertama di negeri berkenaan.

Perlawanan persahabatan itu menyaksikan pasukan Menteri Besar menewaskan pasukan bekas pemain kebangsaan dengan jaringan gol 6-2. Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjadi wira pasukan apabila menyumbangkan dua gol.

MENTERI Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. - Foto L Manimaran
MENTERI Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. - Foto L Manimaran

Pasukan bekas pemain kebangsaan diwakili lagenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun atau Towkay@Tauke, pemain beraksi semasa era Mokhtar Dahari dan R Arumugam.

Turut beraksi Khalid Ali, Zolkifli Ahmad, Kamarul Zaman Yusoff, Karim Pin, Malek Rahman, Asmawi Bakri, Raymond Ragunathan, Azlan Johar, Kalimuthu dan Soh Chor Len.

Selain perlawanan persahabatan, semua bekas pemain turut mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan kepada balu bekas pemain bola sepak kebangsaan, mendiang Wong Kim Seng, bernilai RM20,000. Sumbangan disampaikan Pengerusi YAKEB, Datuk Malek Noor.

Sementara itu, Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abdul Manaf selaku ketua rombongan berkata penampilan bekas bintang negara bertujuan memeriahkan pemukiman Menteri Besar di Parlimen Larut, selain mencuri peluang agar orang ramai dapat beramah mesra bersama pemain kegemaran mereka.

"Pada pandangan saya, pemukiman membabitkan Menteri Besar, pemimpin dan pegawai kerajaan amat jarang dijumpai di negeri lain. Kami sudah menjelajah ke setiap pelusuk negara dan dapat merasakan apa yang dilaksanakan di Perak ini memang unik, apatah lagi menjadikan sukan antara aktiviti pemimpin untuk mendekati masyarakat.

"Selain beriadah, penduduk setempat dapat menyaksikan bakat terpendam pemimpin mereka, berseronok serta berinteraksi bersama pemimpin dalam keadaan santai," katanya.

Untuk rekod, program pemukiman itu adalah sebahagian daripada aktiviti komuniti #1M1H melalui Program Kempen '1Malaysia 1Hope -Giving Back To The Nation' (#1M1H) YAKEB.

Berita Harian X